PRU15: Banjir di Sepang perlu penyelesaian jangka panjang

Iklan
Aiman Athirah menunjukkan jalan yang ditenggelami air ketika membuat tinjauan di sekitar Kampung Sri Tanjung pada Khamis.

SEPANG - Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Sepang, Raj Muni Aiman Athirah Sabu menegaskan daerah berkenaan memerlukan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir.

Aiman Athirah berkata, antaranya pembangunan perumahan di kawasan rawan banjir perlu dikaji semula untuk memastikan pelan saliran dan ketinggian dibuat dengan lebih teliti sebelum meluluskan sebarang projek.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Sungai Langat dan anak sungainya juga bukan sahaja perlu diperluaskan tetapi yang lebih utama adalah diperdalamkan bagi menampung air yang meningkat secara mendadak akibat hujan lebat berterusan.

"Keluasan banjaran baharu sungai itu perlu dipanjangkan kepada 4.6 meter daripada 1.5 meter asal ketika ini, khususnya di sepanjang Jalan KB1 berhampiran kawasan perumahan Taman Permata dan Taman Baiduri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Aiman Athirah yang merupakan Ketua Wanita PH berkata, penduduk juga akan lebih yakin sekiranya bongkah cerucuk kepingan dan konkrit yang dibina bukan sekadar tanah seperti yang ada sekarang.

Menurutnya, longkang-longkang pula mesti sentiasa dibersihkan khususnya pada musim hujan agar tidak tersumbat dengan rumpai, kotoran atau sampah sarap.

Iklan

"Saya ingin menawarkan perkhidmatan dan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Sepang (MBS) bagi memastikan longkang sentiasa dibersihkan dan jika perlu melakukan kerja-kerja menaik taraf.

"Kerajaan Selangor juga telah meluluskan RM19.1 juta untuk membaiki tembok penahan banjir Sungai Langat sebagai sebahagian daripada penyelesaiannya bagi menangani masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan itu," katanya.

Sehubungan itu, Aiman Athirah berkata, beliau akan memastikan projek berkenaan dijalankan secepat mungkin tanpa tangguh.

"Akhir sekali, pelan jangka panjang tebatan banjir mesti dilakukan dan dilaksanakan segera bagi mengelak kesusahan yang lebih teruk kepada penduduk Sepang," tambahnya.