JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi rasa terharu dan gembira apabila mendapat suntikan semangat daripada pelumba muda di Jerman.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu memberitahu kisah tersebut terjadi semasa dia berpeluang berlatih di Velodrom Frankfurt Oder bersama jurulatihnya, John Beasley.
"Tempoh hari saya amat bertuah kerana dapat berlatih di Velodrome Frankfurt Oder buat pertama kalinya. Saya dan Beasley memandu selama lebih kurang sejam setengah dari Berlin untuk sampai ke sana.
"Yang bestnya mereka semua kenal saya dan mereka cakap tengok dan sokong saya ketika berlumba di Sukan Olimpik,” catat beliau di Facebook pada Khamis.
Di sebalik pertemuan dengan pelumba remaja itu, Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman turut berkongsi kisah lucu dan hasrat untuk kembali ke sekolah.
"Terharu juga, tapi yang kurang bestnya, korang tengoklah saiz diorang, lebih kurang saya. Sampai saya pun rasa macam nak kena masuk sekolah sukan balik,” katanya.
Azizulhasni kembali beraksi di Liga Juara-Juara Berbasikal Trek UCI di Mallorca, Sepanyol minggu lalu selepas berehat lama setelah menjalani pembedahan jantung.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang menjalani latihan di velodrom itu.
"Ribuan terima kasih kepada mereka kerana memberikan peluang dan kebenaran untuk saya menggunakan fasiliti ini ketika berada di sini.
"Saya harap dapat meluangkan lebih banyak waktu untuk berlatih dan berlumba di sini pada masa akan datang. Orang-orang Jerman sangat baik,” katanya.
Pusingan kedua Liga Juara-Juara Berbasikal Trek UCI akan diteruskan di Berlin, Jerman pada 19 November ini.