KEPALA BATAS - Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Kepala Batas, Danial Abdul Majeed hanya memiliki sebuah kereta jenis Produa Axia dan motosikal Yamaha Y-15 yang kesemuanya bernilai RM53,300.
Selain itu, jurutera berusia 26 tahun itu hanya memiliki wang simpanan sebanyak RM3,125.31 dalam tiga akaun bank selain wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM6,501 setakat 30 September lalu.
Danial berkata, jumlah liabiliti yang ditanggung ketika ini bernilai RM102,146 yang menjadikan jumlah bersih aset miliknya ialah defisit RM39,218.99.
Menurutnya, antara hutang yang ditanggung ialah Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM23,000, pinjaman kereta RM27,694 dan baki hutang motosikal RM5,500.
"Saya juga ada membuat dua pinjaman peribadi sebelum ini yang baki bayaran lebih RM37,000 untuk berkahwin dan hal-hal lain.
Ditanya mengapa membuat pengisytiharan harta pada saat akhir, Danial berkata, jadual kempennya terlalu padat selain terpaksa mengumpul semua maklumat sebelum dapat mengemukakan segala butiran kepada pegawai undang-undang untuk pengesahan.
Beliau berkata, bagi memastikan budaya politik di Kepala Batas di sini bersih dan bebas rasuah, beliau mencabar agar semua calon yang bertanding di kerusi berkenaan untuk mengisytiharkan harta.
Sementara itu, Danial turut mengajak kesemua calon yang bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas untuk mengadakan debat atau diskusi bagi menyatakan aspirasi mereka kepada masyarakat dan pengundi sekiranya dipilih pada 19 November ini.
Katanya, debat itu akan diadakan pada petang esok (Jumaat) pada jam 3 petang di Bilik Operasi Utama Muda, di Bertam.
"Saya faham pada saat akhir ini mungkin calon-calon lain mempunyai kekangan dengan jadual yang padat.
"Saya terbuka dan bersedia untuk pergi ke mana sahaja dan tidak kira waktu sekiranya ada calon mahu melakukan debat ini di tempat mereka kerana rakyat di sini mahu kenal dan lebih mengetahui siapa yang bakal mereka pilih pada 19 November nanti," katanya.