PRU15: Nik Omar yakin tak buat perkara mungkar

Iklan
Nik Omar

PASIR SALAK - Nik Omar Nik Abdul Aziz yakin tidak buat perkara mungkar apabila membuat keputusan bertanding di Parlimen Pasir Salak atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini meskipun tidak mendapat restu ibunya.

Menurut beliau, perbezaan pandangan tidak berkaitan dengan akidah serta iman sebaliknya lebih kepada pemikiran kepada ilmu dan kefahaman.

Iklan
Iklan

"Saya sebagai seorang anak macam mana pun sentiasa berdoa supaya ALLAH ampun dosa saya, sentiasa berdoa supaya ALLAH sentiasa merahmati ibu bapa saya," katanya seperti yang dilapor portal Free Malaysia Today (FMT) pada Khamis.

Nik Omar berkata, perjuangan menegakkan syiar Islam dalam kepimpinan negara tetap diteruskan kerana percaya parti yang diwakilinya mempunyai misi mahu mendapat kepimpinan yang adil dan telus.

Iklan

Menerusi poster yang dimuat naik laman Facebook Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Pusat pada Rabu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak tidak merestui anaknya bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecuali atas tiket Pas.

Penegasan itu ditujukan kepada anaknya, Nik Omar yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

Parlimen Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Nik Omar, Khairul Azwan Harun (BN), Jamaluddin Yahya (Perikatan Nasional) dan Zairol Hizam Zakaria (Pejuang).