PRU15: GPS, GRS berpotensi jadi 'king maker'

Iklan
Last Lap membicarakan Tiada majoriti: Bersediakah kongsi kuasa? dari kiri Kamarul Bahrin Haron selaku Hos, para panelis Datuk A Kadir Jasin, Dr Rais Hussin (dua kanan). -Foto Sinar Harian

SHAH ALAM - Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka akan menjadi 'king maker' bagi membentuk kerajaan campuran yang kemungkinan besar perlu diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Emir Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, ia berdasarkan kajian yang menunjukkan antara tiga gabungan parti terbesar iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing dijangka sukar mencapai kemenangan kerusi 112 bagi membentuk kerajaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, akan terdapat satu gabungan parti yang menjadi dominan yang memerlukan rakan gabungan untuk membentuk kerajaan campuran dan ia akan ditentukan melalui perbincangan selepas pemimpin gabungan berkenaan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Jadi mana-mana parti yang dominan memerlukan dua gabungan lagi. GPS dan GRS adalah parti yang sangat pragmatik dan mereka ini sangat praktikal. Saya percaya sebaik sahaja mereka nampak siapa yang dominan, mereka akan cenderung bersama,"katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian menerusi Program Last Lap PRU15 bertajuk 'Tiada majoriti: Bersediakah Kongsi Kuasa' yang dihoskan Kamarul Bahrin Haron pada Khamis.

Dr Rais Hussin

Tambah beliau, Sabah dan Sarawak adalah negeri yang kaya dan apa yang beliau harapkan adalah mahu melihat negara kini menuju kepada apa yang rakyat mahu bukannya apa yang orang politik atau parti mahukan.

Iklan

"Kita tahu, tahun depan bukan hanya Malaysia tapi dunia akan berdepan dengan kegawatan ekonomi. Kalau kita berdolak dalik dan cuba berpolitik, kita akan menghadapi masalah yang cukup besar.

"Siapa yang akan tanggung? Bukan hanya golongan B40," katanya.


Tidak perlu kerajaan campuran jika pengundi muda keluar mengundi

Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, mana-mana gabungan parti yang dominan dijangka mampu membentuk majoriti lebih selesa dan stabil sekiranya pengundi berumur 18 hingga 30 tahun keluar mengundi secara total.

Menurutnya, beliau tidak melihat akan timbul isu parlimen tergantung kerana golongan pengundi tersebut mampu menjadi penentu gabungan politik mana yang bakal mendapat mandat kali ini.

"Saya juga menjelajah 'cuti-cuti politik'. Saya rasa yang menjadi menentu kali ini adalah pengundi 18 tahun ke 30 tahun. Jika mereka keluar mengundi secara total, saya rasa mungkin isu parlimen tergantung tidak berlaku.

"Malah kita boleh mengharapkan bukan hanya majoriti mudah, malah majoriti lebih selesa atau stabil. Saya amat yakin kalau pengundi muda keluar mengundi kita tak perlu bincang isu parlimen tergantung,"katanya.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, sekiranya tiada mana-mana gabungan yang melepasi garisan 112 kerusi dan terpaksa menubuhkan kerajaan campuran, konflik akan timbul jika Pakatan Harapan (PH) yang menjadi parti dominan.

"Dengan siapa PH nak pergi untuk tubuh kerajaan campuran? Sebab ada masalah. Nak pergi ke Barisan Nasional (BN), PH tuduh BN korup. Nak pergi ke Perikatan Nasional (PN), PH kata mereka pengkhianat.

"Bagaimana PH nak bekerja dengan pengkhianat dan orang rasuah untuk tubuhkan kerajaan campuran?," katanya.

Namun, ujar beliau PH masih boleh menjemput BN dan PN untuk menubuhkan kerajaan campuran iaitu tanpa pengkhianat, dan perasuah.