PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia boleh melupakan Jelajah Dunia Akhir di Thailand bulan depan setelah ditunjukkan jalan keluar dalam saingan Terbuka Australia pada Khamis.
Zii Jia yang merupakan pemain di ranking kedua dunia terpaksa akur apabila tunduk kepada pemain China, Lu Guang Zu 22-20, 15-21, 16-21 sekali gus terlepas aksi suku akhir.
Kekalahan dalam aksi di Pusat Quay, Sydney itu meleburkan impian Zii Jia untuk berada dalam kelompok lapan pemain terbaik pada Jelajah Dunia Akhir di Bangkok dari 7 hingga 11 Disember.
Turun sebagai pilihan pertama kejohanan bukan tiket mudah buat Zii Jia apabila diberi tentangan sengit Guang Zu dalam tempoh sejam 10 minit perlawanan.
Pemain dari Alor Setar, Kedah itu dipaksa bekerja keras oleh Guang Zu yang menghuni ranking ke-19 dunia sebelum menang 22-20 pada set pertama.
Guang Zu yang tewas dua aksi sebelum ini bangkit pada set kedua untuk menang 21-15 dan momentum kemenangan diteruskan pada set ketiga untuk menang 21-16.
Zii Jia yang berada di ranking nombor sembilan Jelajah Dunia perlu mara ke separuh akhir di Sydney bagi memotong kedudukan Guang Zu yang berada di tempat kelapan.
Seramai lapan pemain terbaik dalam ranking Jelajah Dunia berpeluang beraksi pada kejohanan penutup musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.83 juta).
Zii Jia pada akhir bulan lalu tewas mengejut kepada pemain bukan pilihan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 18-21 pada pusingan pertama Terbuka Perancis.
Sebelum itu pada akhir Ogos Zii Jia kalah pada pusingan pertama badminton Terbuka Jepun di tangan wakil India, Srikanth Kidambi.
Pada Kejohanan Dunia di Jepun pertengahan Ogos Zii Jia turut ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan ketiga setelah kalah kepada pemain China, Zhao Junpeng.
Setakat musim ini, Zii Jia sudah meraih dua gelaran apabila mengungguli Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada April dan Terbuka Thailand di Bangkok pada Mei.
Zii Jia juga terlepas gelaran Terbuka Denmark apabila tewas di tangan wakil China, Shi Yu Qi pada 24 Oktober lalu.