PRU15: 33,000 pelajar UUM balik mengundi

Iklan
Pelajar UUM teruja pulang ke kampung halaman untuk mengundi buat kali pertama.

SINTOK - Seramai 33,000 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi kali pertama selepas Undi 18 tahun dikuatkuasakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kesemua pelajar diberikan pelepasan untuk pulang ke kawasan mengundi masing-masing bermula Khamis dan kembali ke kampus pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap pelajar diharap dapat memainkan peranan sebaiknya dalam memilih calon yang menepati kriteria untuk diangkat sebagai pemimpin.

"Saya doakan semua pelajar yang pulang ke kampung dapat tiba dengan selamat di destinasi masing-masing dan menunaikan amanah untuk mengundi, khususnya kepada mereka yang pertama kali mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sementara, pelajar Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Chan Wen Hui sangat teruja untuk pulang ke kampung halamannya di Teluk Intan, Perak untuk mengundi buat kali pertama.

"Saya dan rakan-rakan seawal 7.30 pagi sudah siap untuk pulang. Saya gembira sebab sudah lama tak balik kampung untuk jumpa ibu bapa dan keluarga tersayang. Menariknya kali ini saya akan mengundi kali pertama untuk jalankan tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya.

Seramai 249 pelajar UUM yang berasal dari Perak pulang ke kampung halaman dengan menaiki lapan buah bas secara percuma,

Iklan

Menurutnya, walaupun tiada pengalaman mengundi, namun dia akan memilih kerajaan yang bertanggungjawab dan bijak mentadbir negara selain yang mampu memenuhi aspirasi rakyat.

"Pilihan raya adalah proses untuk memilih calon yang sesuai untuk memerintah. Calon ini akan menjadi wakil kepada rakyat. Mengundi pula adalah tanggung jawab rakyat yang wajib dilaksanakan sebagai tanda kita sayangkan negara,” katanya.

Manakala, Nur Qistina Aqilah Ibat yang merupakan pelajar Sarjana Muda Perakaunan sangat gembira diberi peluang untuk memilih wakil rakyat dan akan memilih pemimpin yang berintegriti dan boleh berkhidmat untuk rakyat.

"Pada saya, Undi 18 tahun sangat bagus sebab suara orang muda dapat didengari dan mahasiswa dapat memainkan peranan memilih kerajaan. Saya harap kerajaan baharu yang akan terajui negara dapat memperkasakan sistem pendidikan dan melaksanakan pemerintahan yang adil kepada semua tanpa mengira bangsa,” ujarnya yang pulang ke Ipoh.

Pada Khamis, seramai 249 pelajar UUM yang berasal dari Perak pulang ke kampung halaman dengan menaiki lapan buah bas secara percuma, yang diselaraskan oleh Kelab Patriot Chapter Perak UUM bagi memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama.

Mereka merupakan antara 21 juta pengundi berdaftar yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU15, Sabtu ini.