KLANG - Keadaan banjir kilat yang melanda beberapa daerah sekitar Selangor sejak malam Rabu beransur pulih khususnya di Klang dan Kuala Selangor berikutan paras air yang semakin surut.
Tinjauan Bernama di beberapa kawasan terjejas setakat jam 3 petang ini mendapati masih ada pekarangan rumah yang digenangi air terutamanya di Kampung Johan Setia, Klang malah paras air longkang serta parit di kawasan itu masih tinggi menghampiri jalan utama.
Mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Kampung Johan Setia, Jamaludin Abdullah, 44, berkata, air banjir setinggi paras betis yang memasuki rumahnya sekitar jam 2 pagi Khamis juga kini sudah surut, namun kawasan rumahnya masih digenangi air.
"Walaupun sudah surut tapi saya tidak ingin ambil risiko untuk pulang ke rumah kerana paras air longkang masih tinggi. Baru dua hari lepas kemas rumah selepas banjir surut Isnin lalu.
"Kalau hujan malam ini mungkin air akan masuk kembali. Hujan dua jam sahaja tapi memang air akan naik tinggi sekejap sahaja,” katanya kepada pemberita di PPS berkenaan pada Khamis.
Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kampung Johan Setia Othman Bakar, 65, pula berkata, situasi banjir kali ini diurus lebih sistematik berbanding peristiwa sama Disember tahun lepas kerana penduduk kampung dalam keadaan bersedia dan tidak kelam kabut walaupun berpindah di awal pagi.
Sementara itu, petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Fazril Amirul Azali, 29, yang tinggal di Taman Sri Muda dekat sini memberitahu, hujan lebat yang melanda kawasan itu malam Rabu mengakibatkan bahagian dapur rumahnya dinaiki air hampir satu meter.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama di Batu 7 dan Batu 8 di Kampung Asahan, Kuala Selangor mendapati paras air masih kekal di paras buku lali sekitar jam 2.40 petang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Selangor, PPj (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin dalam kenyataan memaklumkan 1,267 mangsa daripada 297 keluarga masih ditempatkan di 21 PPS setakat jam 4 petang ini, melibatkan masing-masing empat premis di daerah Kuala Selangor dan Sepang serta tiga di Sabak Bernam, Klang, Petaling dan Hulu Langat, manakala satu di Kuala Langat. - Bernama