PRU15: Salur sumbangan banjir kepada pejabat daerah

Iklan
Saarani (tengah) bersama calon dan jentera BN ketika Majlis Perjumpaan Cikgu Saarani Mohamad Bersama Calon dan Pengundi Tebing Tinggi, di sini pada Khamis.

IPOH - Parti-parti politik serta calon bertanding dinasihatkan menyalurkan sumbangan masing-masing kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diagihkan untuk mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, segala bentuk keperluan untuk mangsa banjir memang telah disediakan oleh pejabat daerah dan tanah di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, calon-calon bertanding dan parti politik boleh membantu mangsa banjir asalkan tidak ada unsur-unsur yang menyalahi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Yang tak boleh ini memberi barangan dalam bentuk wang atau pun benda dengan tujuan untuk meraih undi, tapi kalau takut orang lemas, ada sampan takkanlah sebagai calon nak biar orang lemas. Calon akan angkat dia letak atas itu.

Iklan

"Saya yakin SPR akan mengambil kira semua itu sebab sebagai manusia, kita sentiasa tolong," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Cikgu Saarani Mohamad Bersama Calon dan Pengundi Tebing Tinggi, di sini pada Khamis.

Mengenai situasi banjir di Perak, Saarani berkata, semua pejabat daerah dan tanah di negeri ini sudah membuat kesiapsiagaan sebelum ini kerana bencana tersebut bukan kali pertama berlaku.

Iklan

Menurutnya, semua persiapan dari segi keperluan mangsa-mangsa banjir sudah pun disediakan di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS).

Jelasnya, persediaan juga turut dibuat jika banjir berkenaan berlaku pada hari pengundian kerana terdapat sekolah yang dijadikan PPS dan pusat mengundi.

"Saya dapati di sebelah utara sekurang-kurangnya kita ada dua tempat difahamkan kepada saya oleh pegawai daerah di sebelah Kerian, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Matang Gerdu sudah pun ada orang tinggal di PPS dan sekolah yang sama akan jadi pusat mengundi pada hari Sabtu ini.

"Saya tengok tak ada masalah kerana sekolah itu luas, bangunan mencukupi, bilik darjah mencukupi dan akan dibuat dinding untuk mengelakkan daripada percampuran di antara pusat mengundi dengan PPS," katanya.

Jelas Saarani, orang ramai tidak perlu panik dengan keadaan itu sebaliknya mereka perlu sentiasa waspada jika banjir tersebut berlaku dan bersedia untuk dipindahkan.