Mangsa banjir terperangkap umpama berada di tengah pulau

Iklan
Anuar (kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir, Abdul Samat Osman, 75 (berkerusi roda) semasa melakukan lawatan ke PPS di Dewan Komuniti Dengkil pada Khamis. - Foto Bernama

DENGKIL - ‘Kami terperangkap umpama berada di tengah pulau, tidak boleh keluar sebab semua laluan dinaiki air,’ kata seorang mangsa banjir di Kampung Sri Tanjung di sini.

Asiah Ismail, 50, yang dibawa keluar menggunakan bot oleh anggota bomba berkata hujan lebat berterusan sejak Rabu menyebabkan air naik secara mendadak di kampung itu.

Iklan
Iklan

"Saya bangun jam 4 pagi sebab jiran maklumkan air telah mula naik, saya dan suami kemudiannya kemas barang-barang penting untuk letak di tempat lebih selamat.

"Apabila mahu keluar, semua laluan telah dinaiki air dan kami tunggu anggota bomba datang untuk kami pergi ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sri Tanjung di sini pada Khamis.

Iklan

Tinjauan Bernama di kampung itu mendapati beberapa rumah, kereta telah ditenggelami air dan penduduk turut kelihatan menggunakan bot dan berjalan kaki untuk mengambil barang keperluan di rumah masing-masing.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil, Saifuddin Mohamad Husin berkata, beberapa lokasi di Dengkil telah dinaiki air susulan hujan berterusan dan kejadian ban pecah.

Iklan

Antara lokasi terjejas adalah Kampung Sri Tanjung, Kampung Cemperai, Kampung Jenderam Hilir dan Pekan Dengkil.

"Ban yang pecah di Kampung Seri Tanjung juga telah dibaiki oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

Saifuddin berkata, setakat jam 5 petang, seramai 120 keluarga di Dengkil telah dibawa keluar dari lokasi banjir dan ditempatkan di beberapa PPS antaranya di Dewan Komuniti Dengkil.

"Kami telah melakukan persediaan awal untuk menghadapi banjir kali ini dan telah dibantu oleh pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain,” katanya.

Calon BN Parlimen Sepang, Anuar Basiran turut turun padang menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Dengkil.

Ketika ditemui pemberita, Anuar berkata, BN akan membantu mangsa banjir yang terperangkap untuk dibawa ke PPS yang telah dibuka.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyediakan kenderaan untuk pengundi Parlimen Putrajaya yang berada di PPS untuk mereka keluar mengundi pada Sabtu ini.

"Kami ada pasukan untuk bawa pengundi tunaikan tanggungjawab mereka kepada negara,” katanya. - Bernama