Kesesakan pengembara di CIQ adalah video lama

Iklan
Tangkap layar video kesesakan di CIQ, Johor Bahru yang tular.

JOHOR BAHRU –"Itu video lama yang dimainkan kembali.”

Itu reaksi Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika mengulas mengenai video kesesakan pengembara yang didakwa berlaku di Bangunan Sultan Iskandar (CIQ), pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, video berkenaan merupakan video lama yang dimuat naik semula bagi menggambarkan kesesakan berikutan rakyat di negara ini pulang mengundi.

Malah katanya, keadaan kemasukan pengembara di Bangunan Sultan Iskandar pada Khamis, adalah pada kadar biasa dan tidak berlaku penambahan pengembara secara mendadak.

Iklan

"Rakaman berkenaan dipercayai video lama yang dimainkan kembali bagi menggambarkan warga Malaysia pulang ke negara ini bagi tujuan mengundi,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

Untuk rekod, video berdurasi 17 saat dan yang didakwa berlaku pada Khamis itu memaparkan golongan pengembara yang bersesak masuk ke negara ini melalui Bangunan Sultan Iskandar.

Iklan

Sementara itu, Raub berkata, pihaknya menasihatkan agar pihak tertentu tidak lagi menularkan video-video yang tidak benar selepas ini.

Katanya, video-video sedemikian sebenarnya hanya akan mendatangkan kegusaran kepada pihak lain.

"Bangunan Sultan Iskandar mampu menampung kehadiran seramai 2,000 orang (pengembara) pada satu-satu masa.

"Oleh itu, kita nasihatkan agar tidak lagi menularkan video-video seperti ini pada masa akan datang,” katanya.