SHAH ALAM - Peserta kayuhan basikal pada program ‘60+ Earth Hour’, Iskandar Dzalman Yahya, 47, tidak sempat menunaikan hasrat untuk fokus beribadah pada Ramadan apabila dia meninggal ketika menyertai aktiviti itu.
Isterinya, Aslinda Bahak Udin, 49, berkata, hasrat itu dibincangkannya bersama Iskandar kira-kira seminggu sebelum suaminya itu menyertai program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Shah Alam, 30 Mac lalu.
"Selalunya kami sekeluarga memang akan bertarawih di masjid tapi tak dapat buat sepenuhnya sebab sibuk menyiapkan tempahan biskut raya. Tahun ini, saya dan suami dah rancang, tak nak ambil tempahan.
"Kami nak bawa anak-anak ke masjid tapi tak sempat kami nak tunaikan hasrat untuk sama-sama fokus beribadah dan tarawih di bulan Ramadan kali ini," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Bukit Jelutong Timur, U8 di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun impian itu tidak dapat ditunaikan bersama arwah suami, dia tetap akan meneruskan hasrat itu dengan tiga anak mereka.
Dalam pada itu, Aslinda berkata, suaminya tidak pernah menghidap sebarang penyakit kronik, malah dia juga tidak merokok.
"Bedah siasat dilakukan mendapati tiga saluran jantungnya tersumbat. Saya memang sangat terkejut sebab sewaktu hayatnya dia seorang yang sangat aktif dan sihat malah sudah hampir tiga tahun aktif dalam aktiviti berbasikal.
"Tambah lagi hari terakhir dia bersama saya dan anak-anak, dipenuhi dengan macam-macam aktiviti. Langsung tiada tanda-tanda dia akan pergi," katanya.
Allahyarham Iskandar Dzalman yang juga perunding teknikal di sebuah syarikat swasta, meninggalkan seorang isteri serta tiga anak, Ahmad Irfan, 20, Nur Afiqah, 18 dan Ahmad Iffat, 15.
Terdahulu, Aslinda dan anaknya menerima bantuan bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM2,230 serta bantuan pengurusan jenazah berjumlah RM2,000.
Bantuan itu disampaikan Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan dan turut disaksikan wakil dari Parlimen Shah Alam, Jamil Abdul Rahim.
Aslinda berkata, dia sekeluarga sangat bersyukur dengan bantuan diterima kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ditanggung.
"Saya memang tahu arwah ada mencarum dengan Perkeso dan alhamdulillah ia membantu saya dan anak-anak selepas ketiadaan suami.
"Malah saya tak sangka, walaupun kejadian menimpa suami berlaku di luar waktu kerja, kami masih layak untuk mendapat faedah atau bantuan tersebut," katanya.
Sementara itu, Mohammad Ramli berkata, bantuan faedah bulanan kepada Aslinda adalah untuk seumur hidup, manakala tiga anaknya akan memperoleh bantuan itu sehingga berusia 21 tahun.
"Kita menggalakkan orang awam atau syarikat untuk mencarum dengan Perkeso sebagai persediaan sekiranya berlalu musibah atau kematian, sekurang-kurangnya caruman itu akan dapat membantu ahli keluarga yang ditinggalkan," katanya.