SHAH ALAM - Kesedaran masyarakat dalam mengamalkan gaya hidup sihat wajar dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) mana-mana pemimpin setempat sebagai usaha menjadikan rakyat tidak berdepan risiko penyakit-penyakit serius sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan di negara ini.
Pakar Perunding Histopathologi & Ahli Statik, Dr Manimalar Selvi Naicker berkata, apa yang diperhatikan sekarang ini tiada mana-mana calon pemimpin yang benar-benar memperjuangkan isu kesihatan dengan efektif dalam mempromosikan kepentingan kesihatan.
Justeru menurutnya, KPI mampu menjadi satu bentuk 'paksaan' agar pemimpin yang dipilih mempunyai kesedaran dalam melaksanakan sesuatu yang boleh dimanfaatkan masyarakat setempat untuk membina budaya hidup yang lebih sihat.
"Mereka cakap, janji hospital di kawasan itu ini. Berapa banyak hospital yang kita ada pun ia tak akan mengatasi masalah kerana kita kena bina rakyat yang kuat dan sihat seperti latihan ketenteraan. Orang-orang muda kita mesti cergas.
"Apabila mereka mengambil tahu data-data kesihatan ini tinggi di kawasan mereka, sekurang-kurangnya mereka akan merasa malu dan buat sesuatu seperti menyediakan kemudahan untuk masyarakat melakukan aktiviti sihat," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Program Last Lap bertajuk 'Merealisasi Transformasi Sistem Kesihatan Negara' yang dihoskan Kamarul Bahrin Haron pada Khamis.
Jelas Dr Manimalar, kesedaran kesihatan amat penting mengambil pengajaran impak Covid-19 yang besar terhadap rakyat di negara ini meskipun bukan tergolong dalam negara yang mempunyai populasi rakyat tua yang banyak.
"Mengikut demografi rakyat kita masih lagi muda berbanding negara maju. Jadi impak Covid-19 kepada negara kita tidak sepatutnya begitu besar. Tapi sebab rakyat kita ada masalah macam berat badan berlebihan, kencing manis memberi impak yang sangat besar kepada kita.
"Kita kena selesaikan masalah dengan mendidik rakyat supaya menjaga kesihatan," katanya.