TANJUNG MALIM - Seorang pemandu lori kontena maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 382.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Behrang di sini pada tengah malam Khamis.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 44 tahun ditemukan oleh pasukan penyelamat terperosok bawah kontena yang membawa muatan besi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Ahmad Nazirulmubin Narodi berkata, sepasukan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.50 tengah malam.
"Mangsa dipercayai tercampak apabila dia ditemui di bawah kontena. Pasukan mengambil langkah awal keselamatan sebelum melakukan operasi mengeluarkan mangsa.
"Ketika menyelamat, sebuah treler bermuatan paip besi dipercayai terbabas melanggar dua kereta, ambulans yang bersedia di lokasi kejadian sebelum melanggar kontena terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Ahmad Nazirulmubin berkata, impak kemalangan itu menyebabkan tiga anggota tercampak.
"Seorang anggota mengalami cedera ringan akibat terhempas di dada telah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Slim River manakala yang lain selamat.
"Bagaimanapun, keadaan itu menyebabkan mangsa terperosok jauh di sebalik timbunan besi itu," katanya.
Jelas beliau, operasi diteruskan dan mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat kira-kira tiga jam kemudian.
"Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa apabila menunggu kren untuk mengangkat kenderaan berat terbabit.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Plustrafik melalui Twitternya mengemas kini setakat jam 6.38 pagi, semua lorong masih terhalang menyebabkan kesesakan lebih 4 kilometer.
Kerja pengalihan sedang dijalankan manakala kenderaan ke selatan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Slim River.