SYDNEY - Menteri Luar Australia, Penny Wong pada Jumaat menggesa Rusia menyerahkan tiga lelaki yang didapati bersalah kerana menembak jatuh sebuah pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada tahun 2014.
Beliau juga mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin melindungi tiga lelaki tersebut daripada dihadapkan ke mahkamah di Belanda.
Pada Khamis, sebuah mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga lelaki tersebut, tetapi mereka tidak menghadiri perbicaraan kes berkenaan.
Warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, manakala Leonid Kharchenko dari Ukraine didapati bersalah kerana menembak jatuh pesawat Boeing 777 dengan peluru berpandu yang dibekalkan Rusia sekali gus membunuh kesemua 298 penumpang di dalamnya.
Penny menggesa Rusia menyerahkan ketiga-tiga lelaki itu yang disabitkan kesalahan supaya mereka boleh menjalani hukuman.
Moscow telah mengetepikan keputusan itu sebagai bermotifkan politik.
Namun, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pula memujinya setelah mahkamah membuat keputusan itu.
Perbicaraan itu mengakhiri pencarian panjang untuk keadilan bagi mangsa bencana tersebut yang datang dari 10 buah negara melibatkan 196 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia dan 38 penduduk Australia. - Agensi