Cadangan PPN 2.0 lebih holistik, inklusif

Iklan

Pelan Pemulihan Negara (PPN) 1.0 yang dilaksanakan Majlis Pemulihan Negara (MPN) berjaya membuahkan hasil terutama melibatkan pembukaan semula ekonomi.

MPN yang berfungsi merangka strategi dan hala tuju PPN untuk pertimbangan dan persetujuan menteri, kini menyusun pelan kedua yang sudah dirangka mengambil kira secara holistik dan inklusif aspek ekonomi dan sosial.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Unit Penyelidikan Strategik MPN, Dr Khalid Abdul Hamid, pemulihan perlu dilakukan serta-merta kerana rakyat terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih belum berupaya bangkit sepenuhnya selepas melalui tempoh getir selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Menerusi wawancara bersama wartawan Sinar Harian, NURUL HUDA HUSAIN, yang berlangsung di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kuala Lumpur, Khalid turut menyentuh pelbagai isu lain antaranya perkembangan dan usaha MPN di pasca pandemik.

Iklan

SINAR HARIAN: Boleh Dr terangkan dengan lebih jelas apakah fungsi dan tujuan penubuhan MPN ini?

KHALID: MPN yang ditubuhkan sejak Julai 2021 berperanan sebagai badan PPN yang merangka, merencana dan merancang satu strategi untuk keluar daripada pandemik Covid-19. Majlis ini juga berperanan memantau pelaksanaan dan menilai keberkesanan program atau projek di bawah PPN oleh kementerian atau agensi berkaitan. Selain itu, kita juga berfungsi memberi cadangan dan mengambil langkah intervensi bagi memastikan pencapaian keberhasilan PPN serta memberi nasihat kepada kerajaan berkenaan strategi, program atau projek pemulihan negara.

Iklan

Sejak Julai 2021, MPN telah pun melaksanakan beberapa pelan tindakan, inisiatif dan sebagainya untuk meneruskan agenda pemulihan ini. Kita sedia maklum sekatan pergerakan dan penutupan sektor ekonomi sebelum ini telah menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dengan begitu ketara.

Apakah perkembangan dan usaha MPN di pasca pandemik ini?

Umum mengetahui strategi PPN 1.0 telah membuahkan hasil kerana pelaksanaannya dilakukan secara sistematik dan selamat dalam empat fasa melalui tiga nilai ambang yang ditetapkan iaitu jumlah kes harian, kadar vaksinasi dan keupayaan sistem kesihatan awam negara. Selain itu, menyedari kesengsaraan yang dihadapi rakyat, sebanyak lapan pakej rangsangan ekonomi dikenali sebagai Inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) diwujudkan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM530 bilion.

Hasil usaha dan strategi ini, kita melihat ia telah membuahkan kejayaan apabila prestasi ekonomi negara mulai mencatatkan pertumbuhan bagi tiga suku berturut-turut dan suku terakhir yang kita difahamkan juga agak tinggi kesan daripada pelaksanaan strategi yang dilakukan. Perkembangan positif yang ditunjukkan ini adalah hasil daripada dasar berani yang dilaksanakan MPN bagi melindungi ekonomi, walaupun masih ada negara yang belum membuka sektor ekonomi mereka sepenuhnya ketika ini iaitu China. Walaupun di Malaysia masih lagi ada kes Covid-19 tetapi kita berjaya mengawalnya dengan baik hasil daripada strategi sistematik yang dirangka dan keadaan ini sebenarnya banyak membantu pemulihan negara selepas memasuki fasa peralihan ke endemik ketika ini.

Apakah kesan Covid-19 terhadap sosial dan ekonomi negara?

Walaupun PPN 1.0 dan Pemulih telah banyak membantu sosial dan ekonomi negara, ternyata Covid-19 telah memberi impak mendalam terhadap kelangsungan hidup masyarakat ditambah dengan isu geopolitik yang sedang melanda. Antara kesannya, golongan rentan berdepan situasi mencabar akibat kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, PMKS yang masih bergelut dengan aliran tunai, sektor pembuatan, pelancongan dan pembinaan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya akibat kekurangan pekerja.

Kesan Covid-19 ini bukan sahaja dialami sektor ekonomi tetapi seluruh aspek termasuklah pendidikan terutamanya membabitkan keciciran pembelajaran dan emosi murid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semasa tempoh itu juga kita melihat isu sekuriti makanan negara juga terkesan teruk kerana terlalu bergantung kepada import makanan dan input pertanian. Keadaan ini mengakibatkan berlakunya inflasi seperti mana yang berlaku hari ini.

Boleh Dr jelaskan PPN 2.0 yang sedang dirangka oleh MPN ketika ini?

Meskipun ekonomi telah menunjukkan perkembangan yang baik, namun kita berpandangan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu rakyat termasuklah PMKS kembali bangkit kerana dalam tempoh dua tahun pandemik ini melanda ia telah ‘melumpuhkan’ banyak pihak. Jadi, untuk PPN 2.0 ini, MPN telah merangka strategi yang bersifat lebih holistik dan inklusif serta hala tuju yang lebih jelas ke arah pasca pandemik. Sekarang ini kita kena bertindak dengan lebih laju ke hadapan.

Selaras dengan itu, pelbagai langkah strategi pemulihan telah diperakukan dan syorkan oleh MPN untuk tindakan lanjut kerajaan. Antara strategi yang sedang dirangka itu melibatkan pertumbuhan ekonomi; merapatkan jurang pekerjaan; perumahan mampu milik; jaminan sekuriti makanan; reformasi perlindungan sosial dan sebagainya.

Memandangkan MPN masih menjalankan tugas-tugas pemulihan negara ketika ini, apakah cadangan pemulihan segera yang perlu dilaksanakan dalam menangani isu sosial dan ekonomi negara?

Banyak sebenarnya cadangan telah diutarakan tetapi saya ingin jelaskan di sini bahawa MPN bukan bersifat sebelah pihak yang mana ia bukan sahaja dianggotai oleh menteri yang mewakili kerajaan, namun ia turut disertai oleh pihak pembangkang. MPN sebenarnya bersifat neutral dan tidak berfungsi mewakili sebelah pihak semata-mata. Apa yang kita ingin tegaskan bahawa pemulihan perlu dilakukan dengan serta-merta, sama seperti ketika kita membantu mereka yang terlibat dalam kemalangan, bantuan tidak boleh ditangguh. Langkah sama juga perlu dibuat dalam pemulihan ekonomi ini.

Itulah antara perkara melibatkan sosial dan ekonomi yang ada dalam resolusi dan pembentangan yang dikeluarkan MPN setakat ini dan semuanya juga telah diangkat kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.

Akhir sekali, apakah harapan Dr terhadap semua cadangan pemulihan yang telah siap dibentang itu?

Harapan saya adalah ingin melihat perkara ini dibuat secara sistematik bukan angan-angan kosong. Kalau cadangan ini dibuat secara sistematik setidak-tidaknya kita mampu kembalikan semula (masyarakat) kepada peringkat sebelum wujudnya pandemik ini.

Selain itu, kita perlu menilai semula peraturan yang diwujudkan sebagai contoh kepada PMKS. Kalau kita lihat kebanyakan peraturan yang ada hanya melambatkan usaha memulihkan pertumbuhan ekonomi kerana syarikat-syarikat kecil ini berdepan masalah aliran tunai. Jadi, pembayaran balik pinjaman itu perlu dipanjangkan lagi sebenarnya. Kita ketepikan dahulu syarat-syarat yang bersifat menyukarkan lagi PMKS ini kerana kita hendak bantu mereka pulih dengan segera. Selepas semuanya kembali stabil, barulah kita laksanakan semula peraturan ini atau pertimbangkan untuk diteruskan atau sebaliknya.