ARAU - Sumbangan 100 kilogram beras kepada pengantin baharu dan menyediakan pinjaman peralatan sokongan pesakit kronik serta perkhidmatan ambulans secara percuma antara 15 inisiatif menarik yang ditawarkan BN kepada penduduk Arau.
Calon BN Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, ‘Arau Baru’ adalah pelan lima tahun merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan sosial yang dilihat mampu menjana pembangunan kawasan berkenaan.
"Terdapat tujuh inisiatif pemerkasaan sosial antaranya membuka pusat e-sukan bagi membimbing jaguh-jaguh kampung ke peringkat yang lebih tinggi dan pada masa sama, kemudahan sukan sedia ada serta sukan kegemaran ramai akan terus diperkasakan.
"Inisiatif lain adalah pemberian 100 kilogram beras percuma kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan pertama, membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan mengikut kemahiran dan menganjurkan program sijil kemahiran asas kepada belia yang menganggur.
"Selain itu, kita juga mahu menyediakan pinjaman peralatan sokongan pesakit kronik serta perkhidmatan ambulans secara percuma kepada seluruh keluarga Arau yang memerlukan serta mempertingkatkan capaian internet dalam kawasan ini,” katanya pada Jumaat.
Rozabil yang mesra dipanggil Tok Ben memberitahu, terdapat lima inisiatif penjanaan ekonomi antaranya mempromosikan Arau sebagai destinasi pelancongan dan membina ‘motorhome park’ serta memberikan penarafan bintang kepada inap desa di kawasan Parlimen tersebut.
"Turut disentuh adalah menjenamakan produk yang dibuat oleh pengusaha IKS (industri kecil dan sederhana) di Arau dengan jenama ‘Best From Arau’. Semua pengusaha yang terlibat akan dibantu dari aspek teknologi pembungkusan, pemasaran dan juga penjenamaan.
"Kita juga mahu memperkasa dan membantu peniaga kecil serta pengusaha IKS terutamanya golongan wanita.
"Selain itu, kita juga mahu meningkatkan penggunaan teknologi dan inovasi pertanian serta membantu ‘start up company’ bagi padanan perniagaan sebagai langkah mengurangkan penduduk Perlis berhijrah,” ujarnya.
Menurut Rozabil, pihaknya merancang untuk menubuhkan ‘Arau Student Excellect Center’ serta menyediakan tuisyen bagi pelajar kelas peperiksaan.
"inisiatif lain dalam segmen pendidikan adalah kelas mengaji percuma kepada semua peringkat umur serta menganjurkan program ‘Education On Wheel’ untuk menambahkan lagi keseronokan belajar dalam kalangan murid prasekolah, rendah dan menengah,” katanya.