‘Saya pastikan tiada yang lapar di Puchong’ - Uncle Kentang

Iklan
Chee Heng (kiri) ketika bertemu rakyat di sekitar Puchong pada Jumaat.

PUCHONG -"Saya berjanji sekiranya dipilih menjadi ahli Parlimen, tiada siapa yang akan berlapar di Puchong,” kata calon Bebas Parlimen Puchong, Kuan Chee Heng.

Aktivis masyarakat yang mesra disapa Uncle Kentang itu berjanji akan turut membantu menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu rakyat di Puchong selama ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tabung makanan (food bank) akan diwujudkan di pusat-pusat ibadah supaya mereka yang tidak berkemampuan boleh mengambil makanan apabila diperlukan.

"Saya akan sediakan tabung makanan di pusat ibadah yang sekali gus menggalakkan orang ramai datang ke institusi tersebut. Saya juga akan terus sediakan kemudahan asas seperti ambulans dan van jenazah percuma untuk orang Puchong.

Iklan

"Selain itu, saya akan membuat gesaan supaya lebih banyak rumah mampu milik dibangunkan di Puchong,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau yang terkenal kerana menyediakan khidmat Ambulans 10 sen, Teksi 10 sen, Pasar 10 sen, Rumah RM1 dan lain-lain perkhidmatan secara percuma itu berkata, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat akan menggunakan agensi kerajaan untuk memupuk kembali perpaduan kaum yang retak ketika ini.

Iklan

"Saya juga janji akan jaga hak-hak keistimewaan kamu dan anak-anak kamu serta maruah dan kebajikan kamu.

Berbekalkan manifesto ‘Tiada Yang Terpinggir’, Chee Heng berkata, beliau juga mempunya misi untuk menyediakan kemudahan dan perlindungan kepada warga emas, ibu tunggal serta menyediakan kelas tuisyen percuma bertempat di pusat-pusat ibadah.

Menurutnya, ia berikutan ramai warga emas yang diabaikan dan bagi golongan ibu tunggal pula tidak mendapat hak sewajarnya.

"Dalam Islam ada undang-undang syariah tetapi bagi yang bukan Islam, ramai tidak mendapat keadilan dalam tuntutan nafkah dan sebagainya.

"Kerajaan perlu membentuk satu jabatan khas untuk membantu memudahkan ibu-ibu ini menuntut nafkah dan pembahagian harta sepencarian dalam kes perceraian kerana ramai yang tidak berkemampuan mengambil peguam dan tidak mendapat keadilan,” katanya.

Dalam pada itu, Chee Heng berkata, beliau turut akan menyediakan aplikasi khas untuk membantu anak-anak muda dalam perniagaan e-dagang dan mewujudkan dua pusat khidmat untuk kemudahan rakyat setempat jika diberi mandat sebagai ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.