PONTIAN - UMNO menegaskan rundingan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan dibuat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketiadaan sebarang rundingan dengan gabungan dan parti politik lain dibuat atas keyakinan Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah selepas hari mengundi pada Sabtu.
"Katakanlah esok, BN berjaya dapat 112 kerusi di Semenanjung dan Sabah. Dengan siapa lagi kami nak berbincang, sudah tentu BN nak berbincang dengan GPS.
"Kenapa kami nak bincang dengan GPS. Ini kerana GPS adalah rakan karib BN. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan PRU15, BN tidak letakkan calon di Sarawak. Yang bertanding di Sarawak adalah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ramah mesra dengan penduduk di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, UMNO dilaporkan menolak dakwaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN akan bergabung dengan PH selepas PRU15 nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, tuduhan itu hanya satu andaian dengan tujuan untuk memberi gambaran yang salah kepada pengundi terhadap BN dalam kempen PRU kali ini.