PONTIAN - Hasil kajian lapangan dan infografik yang menunjukkan jangkaan berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai tidak tepat selain hanya perang psikologi untuk melemahkan BN.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hasil dapatan yang dikemukakan dilihat cenderung kepada satu parti dengan mendakwa parti itu akan menang dan parti lain terutama BN akan kalah besar.
"Dulu pun ada kajian sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, BN kalah. Begitu juga sewaktu PRN Johor pada Mac lalu, BN juga kalah.
"Memang banyak kajian dikemukakan menyatakan BN akan kalah ketika PRN Johor dan Melaka, tetapi akhirnya yang berlaku, BN menang.
"Itu semua 'psywar' jahat. Mungkin akan ada banyak lagi hasil dapatan kajian yang akan dikeluarkan dalam masa beberapa jam lagi sebelum hari mengundi pada Sabtu," katanya ketika ditemui sewaktu program ramah mesra di sini pada Jumaat.
Ahmad berkata, semua pihak termasuk pengundi perlu berhati-hati membaca kajian yang dikemukakan.
"Kajian dibuat melalui pelbagai kaedah. Ada kajian yang berat sebelah atau kajian yang menyebelahi pihak tertentu.
"Oleh itu, saya berpandangan banyak kajian dibuat, tidak tepat. Ini kerana bila selesai pilihan raya orang yang di kata kalah akan menang," katanya.
Pada Khamis, Firma penyelidikan politik, EMIR Research mengeluarkan jangkaan atau ramalan keputusan PRU15 dengan beberapa keputusan mengejut termasuk beberapa pemimpin 'heavyweight' parti tewas di Parlimen ditandingi mereka.
Antara yang diramalkan EMIR Research akan tewas pada PRU15 Sabtu ini ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.