IPOH - Pengundi yang layak memilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan agar tidak menerima sebarang sogokan atau rasuah daripada mana-mana pihak.
Menerusi khutbah Jumaat bertajuk Pilihan Raya: Pemilihan Ulil Amri yang disampaikan hari ini, khatib turut meminta pengundi membuat pilihan yang tepat dengan tidak lagi memilih orang-orang yang terlibat dan terpalit dengan rasuah serta perbuatan pecah amanah sebagai pemimpin.
Menurutnya, Islam sangat memberi penekanan soal kepimpinan kerana nasib buruk atau baik rakyat dan negara ditentukan oleh pemimpin malah memilih pemimpin yang layak serta diyakini mampu memimpin dengan baik adalah suatu kewajipan.
"Buktikan tekad kita menolak rasuah, dengan tidak membenarkan diri kita boleh dibeli dengan sogokan wang hingga kita memilih calon kerana dipengaruhi dengan sampul surat yang mengandungi wang," katanya ketika membacakan teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Jumaat.
Menurutnya, pilihan raya merupakan proses melantik seorang pemimpin untuk mengurus negara yang memerlukan ketelitian bagi memastikan orang yang dilantik memiliki keupayaan untuk mengurus dengan baik dan berkesan serta dihormati.
Jelasnya, calon yang dipilih mesti memiliki peribadi yang jujur, ikhlas, berakhlak mulia, berilmu, berpengetahuan, mengamalkan gaya hidup sederhana serta tidak memperagakan kemewahan secara keterlaluan.
"PRU15, memberikan hak kepada 21.1 juta orang pengundi untuk memilih pemimpin bagi mentadbir urus negara dan menentukan nasib 32.7 juta orang rakyat Malaysia.
"Rakyat mengharapkan pasca pilihan raya akan terbentuk sebuah kerajaan yang dapat memenuhi harapan rakyat merangkumi menyediakan peluang pekerjaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam yang berkualiti, perumahan rakyat, jaminan bekalan barang makanan, kos sara hidup yang rendah, inflasi yang terkawal dan pelbagai lagi.
"Rakyat mahu melihat nilai ringgit kembali kukuh, beban hutang dan tanggungan negara berjumlah RM1.4 trilion dapat dikurangkan, rasuah dihapuskan dan negara kembali dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, mimbar turut mengingatkan agar jemaah menerima dengan hati terbuka apa juga keputusan PRU15, serta reda dengan ketentuan ALLAH.