SHAH ALAM - Pengundi diingatkan untuk tidak keliru dengan masa galakan mengundi selama dua jam yang tertera dalam semakan status mereka di laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi hantaran di Facebook, SPR menjelaskan tempoh tersebut bertujuan memberitahu kepada pengundi waktu sesuai untuk mereka ke pusat pengundian untuk mengelakkan kesesakan namun ia tidak diwajibkan untuk dipatuhi.
Jelasnya, ia sebagai mengelakkan keadaan tempat tersebut daripada sesak dengan kehadiran orang ramai.
"Waktu mengundi adalah bermula pada jam 8 pagi hingga 6 petang manakala bagi Sabah dan Sarawak adalah dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang.
"Masa dua jam yang diberikan kepada pengundi itu adalah galakan waktu yang sewajarnya kepada mereka. Kenapa kita buat begitu, contohnya kalau di satu pusat pengundian ada 5,000 orang, melalui masa galakan itu kita dapat bahagi-bahagikan orang.
"Contohnya kalau di satu pusat pengundian ada 5,000 orang, melalui masa galakan itu kita dapat bahagi-bahagikan orang seperti pada dua jam pertama, dari pukul 8 ke 10 pagi, 1,000 orang yang pertama dahulu datang, jam 10 pagi ke 12 petang, 1,000 orang yang kedua pula datang,” katanya pada Jumaat.
PRU15 diadakan susulan pembubaran Parlimen pada 10 November oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 November serta hari mengundi awal, 15 November manakala hari mengundi pada 19 November melibatkan 21,173,638 pengundi.
Ia juga menyaksikan seramai 945 calon termasuk 127 calon wanita menawarkan diri bertanding di 222 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri(DUN) di negeri Pahang, Perlis, Perak dan Bugaya, Sabah.
Sementara itu, SPR ketika mengulas kembali tentang waktu tersebut menyatakan sekiranya pengundi tidak dapat mengikuti waktu galakan yang ditetapkan maka ia tidak dikira sebagai satu kesalahan.
"Masa yang sebenarnya panjang, cuma dua jam itu hanyalah galakan, kalau boleh ikut Alhamdulillah dan bagus kerana kita tidak mahu orang datang serentak,” jelasnya.