Pindaan Auku: Hanya menguntungkan parti politik

Iklan
Muhammad Faizzuddin

KUALA LUMPUR - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyifatkan Pindaan Auku 2018 pada Seksyen 15(2)(C) yang diluluskan Parlimen Isnin lalu tidak memberikan manfaat kepada gerakan mahasiswa sebaliknya hanya menguntungkan parti politik.

Presidennya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, berkata, pindaan tersebut hanyalah akan memberi ruang kepada pemain-pemain politik dalam negara untuk lebih mendekati mahasiswa sedangkan mahasiswa di dalam kampus mempunyai perjuangan dan ideologi mereka yang tersendiri.

Iklan
Iklan

"Auku 2018 adalah masih sama seperti dahulu iaitu masih menyekat mahasiswa daripada mengurus organisasi mahasiswa secara autonomi seperti yang termaktub dalam seksyen 15A(1), keadilan mahkamah universiti yang masih di bawah kuasa individu lantikan politik (Naib Canselor) atau pemain politik negara seperti yang termaktub dalam seksyen 16(1) dan kekebalan Naib Canselor serta ahli lembaga daripada undang-undang seperti yang termaktub dalan seksyen 24C.

"Kami juga menentang sekeras-kerasnya peruntukan rimba yang mengikat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti oleh pihak lembaga universiti seperti yang termaktub di dalam seksyen 48(1A) dalam Auku.

Iklan

"Apa yang menjadi tuntutan kepada gerakan mahasiswa ialah kebebasan untuk berorganisasi dan bukannya kebebasan untuk berpolitik secara kepartian kerana majoriti anak muda atau mahasiswa hari ini menolak politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sepatutnya memansuhkan segala seksyen yang menekan mahasiswa daripada bebas berorganisasi dan memberikan mahasiswa kuasa untuk mengurus masyarakat kampus secara autonomi.

Iklan

Ujarnya, tempoh masa kerajaan selama enam bulan memerintah negara sepatutnya lebih daripada cukup untuk mengkaji dan meminda undang-undang Auku yang menyekat kebebasan mahasiswa.

"Kami menyeru kepada kerajaan agar menilai kembali pindaan yang sangat tidak bertanggungjawab dan hanya memberi kelebihan kepada parti politik sahaja. Juga meminda seksyen-seksyen lain yang selama ini membelenggu dan menafikan hak gerakan mahasiswa.

"Menteri Pendidikan Malaysia yang sedang memegang tampuk pemerintahan jangan terlalu angkuh dan sombong di samping menikmati gaji yang besar. Dengar rintihan dan tuntutan mahasiswa atau kalian kerajaan akan berhadapan dengan protes besar mahasiswa di Putrajaya kelak,” katanya.