RAWANG - Tujuh kereta rosak selepas terlibat dengan kemalangan yang turut melibatkan sebuah jentera kren dan dua lori di Jalan Rawang - Kuala Garing di sini pagi semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 9.45 pagi itu, seorang daripada mangsa parah dan seorang lagi cedera.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan di lokasi mendapati kemalangan berlaku dari arah Rawang menghala ke Country Homes.
Menurutnya, jentera kren yang datang dari arah Pekan Rawang dan pemandunya mendakwa kenderaan itu mengalami masalah brek lalu hilang kawalan semasa melalui jalan yang menuruni bukit.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua cedera, lapan kenderaan rosak dirempuh kren
"Jentera kren melanggar kereta di laluan hadapannya bermula dengan melanggar Nissan Almera kemudian Produa Myvi, Grand Livina dan sebuah lori.
"Lori berkenaan kemudian termasuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar sebuah lori lain yang datang dari arah bertentangan iaitu Country Homes.
"Sementara jentera kren terus melanggar Nissan Sentra, Honda Jazz, Mercedes dan akhir sekali melanggar Honda Insight dan terhenti di sebelah bahu sebelah kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Samsor berkata, akibat dari kemalangan itu pemandu dan penumpang sebuah lori telah cedera manakala mangsa kenderaan lain dilaporkan tidak cedera termasuk pandu jentera kren.
"Siasatan di lokasi mendapati, semasa kejadian laluan jalan raya agak sibuk dan arus trafik bergerak perlahan. Tempat kejadian adalah jalan dua lorong sehala dan terdapat simen pembahagi jalan antara jalan arah yang bertentangan. Laluan jalan adalah menuruni bukit. Cuaca ketika kejadian adalah baik dan cerah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.