KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Impian seorang pemuda untuk memperoleh gaji lumayan sebagai tukang masak di Kemboja bertukar menjadi mimpi ngeri selepas terperangkap dengan tipu daya sindiket yang memaksanya menjadi 'scammer'.
Lebih parah, mangsa berusia 23 tahun yang mahu dikenali See terpaksa menanggung derita akibat dipukul sehingga patah kaki kanan, cedera pada bahagian badan dan lengan kerana gagal mencapai sasaran kutipan RM227,690 dalam tempoh seminggu.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, episod deritanya terperangkap dengan sindiket penipuan di Kemboja selama tujuh bulan bermula selepas mengenai seorang kenalan yang menawarkan kerja sebagai tukang masak di Kemboja.
"Kenalan itu memaklumkan saya akan menerima gaji lebih tinggi iaitu sekitar RM4,500 berbanding menjaja makanan.
"Jadi, saya merasakan ini tawaran yang baik dan memutuskan untuk bekerja di sana. Saya kemudian menaiki kenderaan ke Kuala Lumpur seterusnya melalui sungai di sempadan Malaysia-Thailand dengan menggunakan laluan tikus pada Mac lalu.
"Tempoh perjalanan melalui jalan darat itu saya anggarkan lebih kurang lima hari sebelum saya dibawa di sebuah penempatan di Sihanoukville di Kemboja," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Khidmat calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, Sim Chon Siang pada Jumaat.
Ceritanya, ramai individu tempatan (warga Malaysia) yang bekerja dengan sindiket terbabit di negara itu.
"Saya sering dipukul jika tidak mahu bekerja atau gagal mendapat target yang ditetapkan. Malah saya diseksa dengan mengangkat batu bata pada waktu tengah hari dan cuba dilemaskan di dalam sebuah perigi yang kotor oleh ahli sindiket.
"Saya juga pernah menjadi mangsa jual beli kumpulan sindiket sebanyak lima kali selepas gagal mencapai sasaran yang ditetapkan," luahnya yang masih trauma dengan nasib menimpa dirinya.
Ditanya bagaimana dapat meloloskan diri, See berkata, salah seorang rakan di Kuantan memberikan nombor telefon Chon Siang bagi membantu menyelamatkan dirinya.
"Selepas beberapa kali menghubungi Chon Siang memaklumkan lokasi saya ditempatkan, namun cubaan itu gagal selepas saya beberapa kali dipindahkan ke lokasi lain.
"Pada September lalu, saya berjaya melarikan diri dan terpaksa bertukar lima teksi untuk sampai ke Phnom Penh sejauh 4.5 jam dari Sihanoukville," ujarnya yang akhirnya terselamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada baru-baru ini.
Dia menzahirkan rasa bersyukur kerana dapat dapat pulang selepas hampir tujuh bulan jadi tawanan sindiket itu.
"Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Chon Siang kerana sanggup membantu," katanya.