PRU15: Nuhairi tawar ubah wajah ‘Alor Setar di hatiku'

Iklan
Nuhairi ketika membentangkan lima tawaran ‘Alor Setar di hatiku' untuk mengubah wajah bandar raya sekiranya diberikan peluang sebagai wakil rakyat.

ALOR SETAR - Calon Gerakan Tanah Air (GTA) di Parlimen Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat menggariskan lima tawaran ‘Alor Setar di hatiku' untuk mengubah wajah bandar raya ini sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Nuhairi berkata, tawaran kepada penduduk Alor Setar itu mencakupi aspek ekonomi, pelancongan, pembangunan dan infrastruktur, pendidikan serta pertanian dan asas tani akan direalisasikan dalam perancangan lima tahun.

Iklan
Iklan

Menurut cucu saudara kepada Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad itu, visi untuk melaksanakan lima tawaran tersebut akan menjadi kenyataan sekiranya mendapat kerjasama kerajaan negeri dan pelabur.

"Saya kumpulkan semua idea dan berbincang dengan rakan-rakan berpengalaman untuk tampil dengan visi ini bagi memajukan Alor Setar. Ini antara sebab saya sertai politik untuk bawa suara rakyat ke Parlimen,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Nuhairi berkata, sektor pelancongan antara keutamaan kerana mencakupi skop lebih meluas antaranya pelancongan perubatan, pendidikan dan percutian.

"Kita perlu tarik kehadiran pelancong luar dengan ketengahkan keistimewaan Alor Setar selain menarik lebih ramai pelabur untuk teroka aset yang ada,” ujarnya.

Iklan

Menurutnya, antara aspek pembangunan dan infrastruktur yang perlu diberi perhatian ialah menaik taraf jalan raya, membersihkan Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit yang berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan serta membina perumahan mampu milik yang dinaik taraf daripada premis terbiar.

"Sektor ekonomi pula tentunya melibatkan perusahaan tempatan untuk bantu peniaga kecil dengan menjadikan bandar raya ini tempat kunjungan ramai. Namun sistem pengangkutan awam perlu ditambah baik agar mudah diakses,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat, sektor pertanian masih belum diteroka sepenuhnya dan pihaknya bersedia membangunkan tanah kosong terbiar bagi mencipta peluang kerja untuk anak tempatan.

"Sektor pendidikan dalam bandar raya agak lesu dan harus diperbanyakkan dengan wujudkan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) untuk tarik orang luar menimba ilmu di sini,” tambahnya lagi.

Nuhairi berkata, kesemua visi berkenaan akan tetap diteruskan sekiranya menang di Parlimen Alor Setar walaupun bergelar wakil rakyat pembangkang.

"Jika perlukan dana besar kita boleh bekerjasama dengan pelabur, yang penting diberikan kelulusan oleh kerajaan negeri mahupun Persekutuan biarpun berbeza ideologi politik,” katanya.

Sabtu ini, Nuhairi bertembung tujuh penjuru berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan selain dua calon bebas.

Parlimen Alor Setar disandang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama dua penggal sejak PRU13, kali ini mempertaruhkan Simon Ooi Tze Min mewakili PH, manakala BN diwakili Ketua Pemuda MCA Kedah, Tan Chee Hiong serta calon PN diwakili Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah.

Mengulas penerimaan pengundi terhadap calon Melayu susulan peratusan pengundi Melayu agak tinggi 64 peratus biarpun sebelum ini dimenangi calon bukan Melayu, Nuhairi optimis akan berlaku perubahan dan peluang dilihat lebih cerah.

"Jika tiada halangan saya yakin dapat menawan hati pengundi, setiap kali turun padang saya kemukakan visi dan mereka nampak berminat dengan idea saya dan turut berkongsi pandangan.

"Namun terserah kepada kebijaksanaan pengundi untuk buat penilaian siapa layak mewakili mereka. Saya percaya isu kaum bukan masalah untuk berikan undi kepada saya sebab saya bukan orang politik tetapi ahli perniagaan,” katanya lagi.