PUTRAJAYA - Pelantikan individu ke mana-mana agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah berdasarkan kewibawaan serta kepakaran mereka, bukannya semata-mata lantikan politik, kata Menterinya Datuk Salahuddin Ayub.
Selain pelantikan melibatkan golongan teknokrat dan profesional, kementerian turut menimbang kebolehan dan iltizam individu untuk menjiwai tugas yang diberikan.
Iklan
Iklan
"Itu janji kita walaupun ada ahli politik tetapi kita juga pastikan lantikan itu bukan hanya lantikan politik semata-mata,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di sini hari ini.
Menurut Salahuddin, pelantikan Mukhriz yang berkuat kuasa 1 Mac lepas merupakan kesempatan terbaik dalam usaha MADA menjadi peneraju perkembangan industri padi dan beras memandangkan pengerusinya adalah menteri besar dan juga anak jati Kedah.
"Selain tumpuan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras, kita juga mahu meningkatkan pendapatan pesawah yang majoritinya masih kekal dalam kelompok B40,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi MADA tidak harus dianggap sebagai pelantikan individu.
"Lantikan saya sebagai Pengerusi MADA bukan sebagai individu tapi lantikan seluruh jentera kerajaan negeri Kedah yang akan bersama-sama untuk memastikan apa jua matlamat dan objektif MADA menjadi kenyataan,” katanya.- Bernama