KUALA TERENGGANU – UMNO Bahagian Setiu kesal dengan keputusan kerajaan mengubah jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Negeri Sembilan dan perkembangan itu menunjukkan rakyat negeri ini terus dinafikan hak mengecapi pembangunan.
Setiausahanya, Mohd Iskandar Jaafar berkata, keputusan itu juga menjadikan Terengganu semakin terbelakang dan ketinggalan dari segi kemudahan.
"Ini boleh dikatakan satu sabotaj kepada rakyat Terengganu dan Pantai Timur. Dulu kita mengharapkan ECRL dapat memajukan ekonomi melalui sistem pengangkutan lebih cepat, tapi sekarang bila tidak lalu negeri ini, rakyat Terengganu akan terus terkebelakang.
"Apa akan jadi dengan tanah dan kawasan yang telah diambil alih untuk pembinaan pada peringkat awal dulu? Apa kedudukan kawasan itu pada masa akan datang?,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan wakil khas perdana menteri, Tun Daim Zainuddin yang memaklumkan jajaran baru projek ECRL akan meliputi Jelebu di Negeri Sembilan.
ARTIKEL BERKAITAN: ECRL diteruskan dengan pengurangan kos RM21.5 bilion
Beliau yang sedang berada di Beijing untuk menemui wakil China berkata, projek itu yang disambung semula pada kos lebih rendah iaitu RM44 bilion, akan bermula dari Kota Bharu, Kelantan ke Mentakab di Pahang.
Katanya, perhentian asal di Gombak dibatalkan kerana jajaran itu akan memintas Bentong untuk ke Jelebu di Negeri Sembilan.
Menurut Mohd Iskandar, walaupun kos projek semakin berkurangan namun keputusan itu tidak dapat diterima kerana pembangunannya tidak meliputi semua wilayah selain ada kawasan yang sudah pun membangun seperti pantai barat.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan pengumuman jajaran baharu itu sebagai usaha kerajaan menarik perhatian rakyat sempena siri-siri pilihan raya kecil.
"Ini satu keputusan tergesa-gesa kerana bila masanya kajian ubah jajaran ini dibuat? Setakat kita tahu sekarang kerajaan masih berunding dengan China untuk menentukan kos,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan memberi pandangan terhadap isu berkenaan selepas mendapat penjelasan dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin ini.
"Berhubungan dengan perkembangan terkini ECRL, saya akan hanya beri ulasan setelah mendapat maklumat lebih jelas selepas PC oleh PM, Tun Mahathir @chedetofficial pada hari Isnin ini,” katanya dalam laman Twitter rasmi beliau hari ini.