KUALA LUMPUR - Kesukaran sesetengah pengundi mendapatkan tiket bas untuk pulang mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara yang menjadi inspirasi tercetusnya program 'Tampung Tambang Balik Mengundi'.
Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fazril Saleh berkata, bertitik-tolak dari itu, sebanyak RM40,000 dikumpul bagi menjayakan program tersebut.
Ujarnya, program yang membawa 198 penumpang itu kemudian mendapat kerjasama daripada organisasi lain seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Yayasan Sinar untuk Malaysia (#RasuahBusters).
"Sebanyak 11 bas diperuntukkan untuk membawa penumpang ke 32 destinasi.
"Kita tidak syaratkan kepada penumpang untuk membayarnya dan ia percuma, jika dia hendak bayar, kita terima sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di KL Sentral dekat sini pada Jumaat.
Program yang diusahakan tiga organisasi itu diadakan di KL Sentral dengan perjalanan pergi pada 18 November (Jumaat) dan balik pada 21 November bersempena PRU15.
PRU15 diadakan susulan pembubaran Parlimen pada 10 November oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 November serta hari mengundi awal, 15 November manakala hari mengundi pada 19 November melibatkan 21,173,638 pengundi.
Ia juga menyaksikan seramai 945 calon termasuk 127 calon wanita menawarkan diri bertanding di 222 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, Perlis, Perak dan Bugaya, Sabah.
Pada masa sama, Fazril menambah, tidak mustahil selepas ini program tersebut akan dijalankan secara berkala setiap kali pilihan raya berlangsung.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters, Nurhayati Nordin ketika ditemui pada program itu berharap ia dapat memberi satu keselesaan kepada pengundi dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara.
Jelasnya, kurang 24 jam lagi seluruh rakyat Malaysia akan keluar mengundi dan ia merupakan satu perkara besar kepada masa hadapan negara.
"Sila bersiap sedia untuk mengundi dan undilah calon yang layak memegang tampuk pemerintahan negara dalam tempoh lima tahun akan datang," pesan beliau.