Kelicikan sindiket seludup PATI

Iklan
Biarpun pelbagai operasi dan penguatkuasaan dijalankan, namun ia seolah tidak memberikan kesan kepada sindiket penyeludupan PATI.

SHAH ALAM - Penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) bukan satu isu yang baru di negara ini.

Saban hari, pelbagai operasi penguatkuasaan dijalankan bagi mencegah kemasukan PATI ini, namun tampaknya ia seakan-akan sukar dicegah sepenuhnya kerana kelicikan sindiket penyeludupan yang kerap menukar taktik untuk membawa masuk PATI ke negara ini.

Iklan
Iklan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor antara pihak berkuasa yang bergiat aktif dalam melakukan pelbagai operasi terutamanya di perairan negeri ini bagi mencegah kemasukan PATI.

Jarak dekat mudahkan kemasukan PATI

Iklan

Bercakap kepada Sinar Harian, antara faktor utama dan cabaran yang dihadapi Maritim Selangor adalah kedudukan Indonesia dan Malaysia yang berdekatan.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, jarak antara Pulau Rupat ke Morib adalah lebih kurang 35 batu nautika sahaja.

Iklan
Siva Kumar

"Jarak ini boleh dikatakan agak dekat yang mana hanya mengambil masa satu jam sahaja dengan menggunakan bot pancung.

"Selain itu, pantai negeri Selangor agak panjang iaitu kira-kira 218 kilometer, jadi melihatkan kepada jarak ini dan keluasan pantai sekali gus pintasan ke atas bot yang digunakan PATI ini akan menjadi lebih sukar,” katanya ketika ditemui di Pejabat Maritim Malaysia Selangor baru-baru ini.

Menurut beliau, selain itu faktor muka bumi pantai di negeri ini turut menjadi faktor PATI mudah mendarat.

"Keadaan pantai yang memudahkan bot dinaiki PATI ini untuk mendarat.

"Selain itu, kajian yang dijalankan turut mendapati kawasan dan masa pendaratan PATI ini juga sering berubah mengikut keadaan air pasang surut, malahan keadaan ini tidak menjadi masalah bagi sindiket yang membawa masuk PATI,” kata beliau.

Jelasnya, PATI bergerak dari Pulau Rupat dan pendaratan biasanya akan berlaku di kawasan sekitar Pantai Morib serta Sungai Langat manakala PATI yang datang dari Tanjung Balai akan mendarat di kawasan pantai sekitar Kapar dan Tanjung Karang.

"Bagi setiap kawasan pendaratan PATI, sindiket akan memilih lokasi sesuai dan terlindung seperti kawasan paya bakau.

"Ini bagi memudahkan PATI untuk bersembunyi dalam tempoh dua hingga tiga jam sementara menunggu pengangkutan darat yang diuruskan transporter,” katanya.Selat Melaka merupakan antara laluan yang mencatatkan keadaan trafik yang sibuk di Asia Tenggara.

Siva Kumar berkata, keadaan ini secara tidak langsung memberikan kesukaran untuk mengesan bot-bot yang membawa PATI.

"Keadaan trafik di Selat Melaka yang sibuk menyukarkan pihak kami untuk mengesan bot yang membawa PATI kerana terdapat juga bot-bot tempatan kecil memancing berdekatan perairan sempadan Malaysia-Indonesia,” katanya.

Pelbagai faktor jadi pendorong kemasukan PATI

Malaysia sebuah negara yang aman dan mempunyai peluang kerja serta menawarkan gaji yang lebih tinggi dan menarik.

Kelebihan ini sekali gus menjadikan negara ini antara pilihan utama rakyat luar untuk mencari rezeki di sini.

Bagaimanapun dalam kesempatan itu, terdapat segelintir yang mahu mengambil jalan mudah dengan masuk ke negara ini secara haram.

Siva Kumar berkata, terdapat pelbagai faktor dikesan menjadi antara sebab utama kemasukan PATI ke negara ini.

"Ada kes yang dikesan, dalam kalangan PATI ini mereka pernah bekerja di negara ini dan kemudian pulang ke negara asal, namun mereka kembali semula selepas dipelawa atau dipanggil oleh majikan mereka sebelum ini.

"Tawaran gaji yang tinggi menjadikan PATI ini menjadikan Malaysia sebagai lokasi untuk mereka mencari rezeki biarpun terpaksa menempuh pelbagai halangan untuk masuk ke negara ini secara haram,” ujar beliau.

Siva Kumar menunjukkan antara bot yang ditahan dipercayai digunakan sindiket penyeludupan PATI.

Katanya, antara alasan lain dikesan adalah faktor keluarga.

"Ada dalam kalangan PATI ini mereka berkahwin dengan warga tempatan dan kemudian mereka ini kembali ke negara asal.

"Untuk berjumpa dengan isteri dan anak mereka menggunakan khidmat sindiket supaya dapat bertemu dengan pasangan di sini, begitu juga sebaliknya bagi PATI yang sudah berkahwin di negara asal,” katanya.

Sindiket guna taktik tengah laut

Jika sebelum ini kegiatan penyeludupan PATI sebelum ini dikesan menggunakan bot pancung atau bot pom-pom, namun kaedah terkini yang dikesan Maritim Malaysia Selangor adalah taktik menggunakan bot barter trade.

Siva Kumar berkata, sindiket kini dikesan menggunakan bot barter trade untuk membawa PATI melalui jalan yang tidak diwartakan.

"Bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa, sindiket kini menggunakan kaedah terbaru dengan memindahkan PATI ke bot-bot di tengah laut.

"Ada di antara bot ini menyamar sebagai nelayan tempatan walhal sebenarnya mereka membawa PATI yang kemudiannya dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Jaringan terancang elak dikesan pihak berkuasa

Jelas beliau, sindiket ini dipercayai mempunyai gerak atur yang terancang sebelum menjalankan kegiatan penyeludupan PATI.

"Sindiket penyeludupan ini mempunyai jaringan yang kukuh untuk mengelakkan pihak berkuasa mengesan dalang utama di sebalik kegiatan jenayah yang dilakukan.

"Pergerakan penyeludupan PATI ini diuruskan secara berperingkat oleh ejen rumah penampungan, tekong darat, tekong laut, dan kesemua mereka yang terlibat ini tidak mengenali antara satu sama lain, sebaliknya hanya berhubung menerusi panggilan telefon,” katanya.

PATI ambil peluang permintaan tinggi sektor pekerjaan

Permintaan tinggi terhadap buruh warga asing antara salah satu faktor kepada kemasukan PATI ke negara ini.

Siva Kumar berkata, Selangor antaranya sebagai sebuah negeri yang memerlukan tenaga asing yang ramai sekali gus menjadikan ada segelintir majikan mengambil jalan mudah dengan mengajikan PATI untuk bekerja.

"Kita tidak nafikan memang wujudnya penglibatan warga tempatan dalam penyeludupan PATI ini ekoran permintaan tinggi terutamanya dalam sektor melibatkan perikanan, pembinaan dan perkhidmatan.

"Secara langsung, warga asing akan mengambil peluang dengan memasuki negara ini dengan cara yang tidak sah, menggunakan perkhidmatan sindiket untuk diseludup masuk ke negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, pihaknya sama sekali tidak berkompromi berkaitan perkara itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyeludupan PATI.

"Kesalahan memasuki tanpa pas atau permit sah, tindakan undang-undang diambil di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang mana jika disabitkan kesalahan melibatkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan tidak melebihi enam sebatan.

"Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Seksyen 26 (A) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Antara tangkapan yang dijalankan Maritim Malaysia Selangor dalam membanteras penyeludupan PATI.

Kewujudan rangkaian sindiket PATI luar dan dalam negaraPenglibatan kerjasama warga tempatan di negara ini dengan warga asing di negara asal dikesan membantu melancarkan kemasukan PATI ke dalam negara.

Siva Kumar berkata, pihaknya mengesan kewujudan jaringan sindiket luar dan dalam negara yang mana didalangi oleh warga asing dan turut menggunakan khidmat warga tempatan.

"Pada tahun lepas, sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenali sebagai ‘Ibu Ani’ ditumpaskan dipercayai telah beroperasi di sekitar Lembah Klang.

"Sindiket Ibu Ani bertanggungjawab menguruskan tempat penginapan, makan dan minum serta kenderaan, bagi pergerakan PATI keluar dan masuk Malaysia melalui jalan tidak sah,” katanya.

Katanya, selain itu pihaknya turut mengesan beberapa sindiket lain yang masih bergerak aktif dalam menjalankan kegiatan penyeludupan PATI ke negara menerusi Selangor.

"Sindiket dikenali sebagai Ibu Yuli dan Samsul kini dalam radar kami dan dikesan bergiat di Selangor dan negara jiran sejak November tahun lalu.

"Sindiket Ibu Yuli yang diketuai warga tempatan akan berhubung terus dengan sindiket Samsul (warga Indonesia) yang berada di Tanjung Balai, Indonesia,” katanya.

Maritim Malaysia Selangor jalin kerjasama libat pelbagai agensi.

Sebagai sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam soal keselamatan perairan, kerjasama dengan agensi lain merupakan keutamaan bagi memastikan penyeludupan PATI dapat dibanteras.

Siva Kumar berkata, beberapa siri operasi bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia(PDRM) dijalankan.

Masyarakat main peranan utama bantu Maritim Malaysia Selangor

Peranan masyarakat sebagai mata dan telinga Maritim Selangor disifatkan amat penting menyalurkan maklumat terutamanya melibatkan penyeludupan PATI.

Siva Kumar berkata, peranan masyarakat terutamanya nelayan amat penting dalam memberikan kerjasama kepada Maritim Selangor.

"Saya rakamkan penghargaan kepada masyarakat terutamanya nelayan yang kita kenali sebagai komuniti Maritim dalam menyalurkan maklumat kepada kami, sesungguhnya kerjasama daripada mereka amat penting.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab dan tugas bersama untuk menjaga soal keselamatan dan kedaulatan tanah air. Saya menghargai segala sokongan dan kerjasama daripada masyarakat yang sentiasa menyalurkan maklumat demi kepentingan kita bersama,” katanya.


Rangkuman kisah kejayaan Maritim Malaysia Selangor tumpaskan sindiket penyeludupan PATI
Maritim tahan empat PATI ditemui terapung

- 21 September 2022

KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor telah menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditemukan terapung kira-kira 0.7 batu nautika Pulau Pintu Gedong di sini pada Selasa.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, Pusat Operasi Maritim Selangor telah menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bharu berkenaan aduan awam berkaitan empat orang ditemui terapung di lokasi terbabit pada jam 2.15 petang.

Siva Kumar berkata, hasil pemeriksaan mendapati, empat lelaki warga Indonesia dalam lingkungan umur 26 hingga 43 tahun itu cuba dibawa keluar dari Malaysia tetapi terkandas di Pulau Che Mat Zin kerana ditipu oleh ejen sindiket penyeludupan migran.

Maritim Malaysia pintas bot bawa 14 PATI

- 5 November 2022

KLANG - Tindakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba keluar secara haram dari negara ini gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor V Siva Kumar berkata, 14 PATI tersebut termasuk tekong ditahan di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya Kuala Selangor, kira-kira jam 3.14 pagi.

Menurutnya, bot yang dinaiki kesemua PATI itu dikesan berdasarkan maklumat yang diterima daripada radar sistem pengawasan laut (SWASLA) Maritim Malaysia Area Control Central (ACC) di perairan Pulau Angsa menuju ke Jeram.

Maritim Selangor buru dalang penyeludupan PATI

- 6 November 2022

SHAH ALAM - Sindiket yang terlibat dalam kedua tangkapan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Selangor dalam minggu ini dipercayai tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, siasatan awal mendapati dua tangkapan ini bukan terdiri daripada sindiket yang sama.

Menurutnya, setakat minggu ini sahaja pihaknya berjaya menahan dua bot dipercayai membawa PATI.

"Tangkapan dijalankan melibatkan sebuah bot membawa 44 PATI pada 31 Oktober lalu di perairan Tanjung Layang dan tangkapan pada 5 November melibatkan sebuah bot membawa 14 PATI termasuk tekong di perairan Kuala Selangor.

"Kita percaya kedua tangkapan ini melibatkan dua sindiket yang berbeza namun siasatan lanjut berkaitan kedua tangkapan ini masih lagi dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.