SHAH ALAM - Pengundi yang layak memilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan agar tidak menerima sebarang sogokan atau rasuah daripada mana-mana pihak.
Di PERAK, menerusi khutbah Jumaat bertajuk 'Pilihan Raya: Pemilihan Ulil Amri' sebuah masjid, khatib meminta pengundi membuat pilihan tepat dengan tidak lagi memilih individu terlibat dan terpalit dengan rasuah serta perbuatan pecah amanah sebagai pemimpin.
Menurutnya, Islam sangat memberi penekanan soal kepimpinan kerana nasib buruk atau baik rakyat dan negara ditentukan oleh pemimpin, malah memilih pemimpin yang layak serta diyakini mampu memimpin dengan baik adalah suatu kewajipan.
"Buktikan azam memerangi rasuah melalui kertas undi kita dengan menolak dan tidak memberikan undi kepada calon-calon yang memiliki imej rasuah atau terpalit dengan lumpur rasuah.
"Buktikan tekad menolak rasuah, dengan tidak membenarkan diri kita boleh dibeli dengan sogokan wang hingga kita memilih calon kerana dipengaruhi dengan sampul surat yang mengandungi wang,” katanya ketika membacakan teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Jumaat.
Teks khutbah itu menyatakan, pilihan raya merupakan proses melantik seorang pemimpin yang memerlukan ketelitian bagi memastikan individu yang dilantik memiliki keupayaan mengurus dengan baik dan berkesan serta dihormati.
"Calon yang dipilih mesti memiliki peribadi yang jujur, ikhlas, berakhlak mulia, berilmu, berpengetahuan, mengamalkan gaya hidup sederhana serta tidak memperagakan kemewahan secara keterlaluan.
"PRU15, memberikan hak kepada 21.1 juta orang pengundi untuk memilih pemimpin bagi mentadbir urus negara dan menentukan nasib 32.7 juta orang rakyat Malaysia.
"Rakyat mengharapkan pasca pilihan raya akan terbentuk sebuah kerajaan yang dapat memenuhi harapan rakyat merangkumi penyediaan peluang pekerjaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam yang berkualiti, perumahan rakyat, jaminan bekalan barang makanan, kos sara hidup yang rendah, inflasi yang terkawal dan pelbagai lagi.
"Rakyat mahu melihat nilai ringgit kembali kukuh, beban hutang dan tanggungan negara berjumlah RM1.4 trilion dapat dikurangkan, rasuah dihapuskan dan negara kembali dihormati di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Di PERLIS, khutbah Jumaat di seluruh masjid di negeri ini mengingatkan umat Islam supaya tidak tersilap memilih lima ciri calon yang akan menyebabkan negara tidak stabil dan kucar kacir.
Dalam teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis itu, bagi memastikan negara kekal aman, makmur, maju dan stabil maka rakyat perlu memilih mereka yang layak dan berwibawa.
Menurut teks terbabit, pengundi berhak memilih mereka yang mampu melaksanakan tugas untuk rakyat dengan penuh amanah, jujur dan bertanggungjawab.
"Perlu dipastikan kita tidak memilih mereka yang tidak layak disebabkan lima perkara.
"Pertama, mereka yang menzahirkan permusuhan dengan Islam. Sikap anti Islam itu boleh dilihat atau di kenal pasti melalui kenyataan atau tindakan yang pernah dibuat sebelum ini,” jelas teks khutbah bertajuk ‘Memilih Yang Layak dan Berwibawa’ itu.
Teks khutbah tersebut turut menjelaskan bahawa golongan berkenaan tidak akan mewujudkan ketenteraman sebaliknya akan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat selain menyifatkan tindakan memilih mereka bererti mengkhianati agama dan negara.
"Kedua, mereka yang pernah melakukan jenayah rasuah atau salah guna kuasa. Mereka ini termasuk dalam golongan yang zalim.
"Memilih mereka bermaksud memberi kuasa kepada orang yang akan membuat zalim dalam negara,” katanya.
Di SELANGOR, khutbah Jumaat di seluruh masjid negeri ini menetapkan beberapa nasihat syarak kepada pemilih yang bakal mengundi pada PRU15.
Khutbah menerusi tajuk ‘Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya’ itu menyifatkan memilih pemimpin dalam pilihan raya merupakan kewajipan kepada setiap umat Islam di negara ini.
"Esok adalah hari mengundi. Beberapa nasihat syarak kepada para pemilih antaranya adalah setiap rakyat Malaysia cukup umur untuk mengundi wajib memainkan peranannya dengan keluar mengundi, kerana dewan Parlimen memiliki kuasa bagi menentukan kerangka, dasar dan hala tuju negara.
"Oleh itu pastikan wakil yang dipilih adalah calon yang bermanfaat bagi memelihara kesucian dan kedudukan agama Islam, hak umat Islam dan hak rakyat berbilang bangsa seluruhnya.
"Untuk itu umat Islam mesti mengangkat orang-orang yang berkelayakan, yang akan membuat ketetapan bagi kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan, sebagaimana kaedah fiqh: ‘Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah’,” katanya.
Khutbah Jumaat itu juga meminta pengundi wajib memilih orang yang memiliki keimanan kepada ALLAH, berilmu, berakhlak dan beramal soleh.
"Apatah lagi pengundian merupakan penyaksian yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat,” katanya.