JOHOR BAHRU -Kerajaan Johor menawarkan 3,027 unit Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) termasuk projek perumahan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Bandar Penawar.
Exco Perumahan, Dzulkefly Ahmad berkata kesemua unit itu telah diluluskan dan diiklankan kepada umum.
"Pembangkang asyik tanya sejak Jun 2018 sampai sekarang berapa RMBJ yang PH Johor sudah perkenalkan kepada rakyat jadi saya nak jawablah.
"Sehingga sekarang ada 2,508 unit RMBJ telah diluluskan di peringkat kerajaan negeri dan telah diiklankan.
"Ini termasuk 519 unit projek Kejora di Taman Penawar Harmoni, Bandar Penawar. Keseluruhannya 3,027 unit telah ditawarkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Perumahan dan Hartanah Negeri Johor 2019 di sini hari ini.
Menurutnya kerajaan negeri menyasarkan 21,000 unit lagi RMBJ yang berharga di bawah RM150,000 menjelang tahun 2023.
Difahamkan sehingga hari ini terdapat 80,000 pembeli yang masih menanti giliran untuk memiliki rumah sendiri.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian, Dzulkefly berkata sebanyak 16,329 unit hartanah tidak terjual di negeri ini.
"Saya berharap melalui karnival itu dapat membantu pemaju menjual hartanah yang masih tidak terjual itu.
"Kita ada statistik pendapatan golongan pertengahan di Johor iaitu RM5,652 sebulan di mana ansuran bulanan tak boleh lebih daripada satu per tiga pendapatan jadi pemaju perumahan harus lihat perkara ini," katanya.
Lebih 30 kaunter pameran dan jualan dibuka sepanjang Karnival Perumahan dan Hartanah Negeri Johor 2019 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall sehingga Ahad ini.
Selain mendapatkan maklumat mengenai pemilikan pelbagai kategori hartanah mengikut kesesuaian pendapatan isi rumah, orang ramai juga boleh membuat semakan kelayakan pinjaman secara percuma di sini.