LARUT - Seorang warga emas bangun seawal jam 5 pagi kerana teruja untuk membuang undi kali ke-14 pada pilihan raya umum ini.
Shahbudin Isa, 81, berkata, sejak pilihan raya kedua diadakan pada tahun 1964, dia tidak pernah culas menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
"Dulu yang pertama (1955), saya belum cukup umur baru 14 tahun, jadi saya mula undi pilihan raya berikutnya sampailah sekarang.
"Alhamdulillah, dah 14 kali dah saya undi. Tuhan masih bagi kesihatan untuk memilih," katanya ketika ditemui di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bayor di sini pada Sabtu.
Shahbudin berkata, rasa teruja kali ini menyebabkan dia bangun awal untuk menjadi pengundi pertama.
"Saya bangun jam 5 pagi dan masuk pusat undi tadi jam 7 pagi, dapat beratur jadi orang pertama buang undi," katanya.
Dia yang hadir sendirian menunggang motosikal menyifatkan mengundi satu tanggungjawab penting yang perlu ditunaikan setiap rakyat bergelar warganegara.
"Mana yang boleh undi, eloklah pergi mengundi, ini tanggungjawab kita pilih pemimpin untuk masa depan negara," katanya.