Peti undi bendera Malaysia hiasan laman utama Google

Iklan
Ikon peti undi pilihan raya dengan bendera Malaysia menghiasi paparan di laman utama Google Malaysia, semasa seluruh negara hari ini dilanda ‘demam’ PRU15.
KUALA LUMPUR - Ikon peti undi pilihan raya dengan bendera Malaysia menghiasi paparan di laman utama Google Malaysia, semasa seluruh negara hari ini dilanda ‘demam’ pilihan raya, bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pelayar google.com hari ini akan melihat paparan peti undi dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang, ditempatkan di tengah perkataan Google, dan apabila paparan peti undi itu diklik, ia akan memaparkan penjelasan mengenainya.

"Pilihan raya umum Malaysia 2022, secara rasminya merupakan pilihan raya umum Malaysia ke-15, dijadualkan berlangsung pada 19 November 2022 untuk memilih Ahli Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia ke-15. Sebanyak 221 kerusi di Dewan Rakyat akan dipertandingkan semasa pilihan raya," menurut kenyataan penjelasan itu.

Malaysia mempunyai 222 kawasan parlimen, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai diadakan pada 7 Dis berikutan kematian penyandangnya merangkap calon Pakatan Harapan (PH-PKR) M. Karupaiya Rabu lepas.

Lebih 20 juta pengundi berdaftar akan mengundi pada PRU15 hari ini untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan masing-masing bagi tempoh lima tahun akan datang.

Turut berlangsung hari ini ialah pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Bugaya di Sabah, yang ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat bagi membendung pandemik Covid-19.

Pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan dibuka mulai 8 pagi, manakala di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan bermula pukul 7.30 pagi; dan pusat mengundi di semenanjung ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari dan 6 petang.- Bernama.