KUALA TERENGGANU- Lebih 100 penduduk di Kampung Teluk Paku, di sini, berpesta dengan berkubang beramai-ramai di dalam lumpur untuk menangkap ikan sempena program Jom Kubang Ikan Darat hari ini.
Seawal jam 7 pagi lagi, kelihatan orang ramai mula berkumpul bagi menyertai di samping menyaksikan program tradisi anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Paku bersama Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan Kreatif) itu.
Penyelaras program, Tuan Azman Shah Tuan Alias berkata, Jom Kubang Ikan Darat pertama kali dianjurkan pada 2016 dan diteruskan buat tahun kedua dengan pelbagai pengisian menarik termasuk hadiah istimewa kepada peserta yang berjaya mendapat ikan misteri.
Katanya, sejak jam 12 tengah malam tadi petugas telah melakukan kerja-kerja awal membina tembok dan mengepam air dari alur parit bagi memastikan program pagi ini berjalan lancar.
Peserta paling muda adalah sekitar dua tahun manakala yang paling dewasa berusia 80 tahun. Tentunya peserta yang paling seronok adalah kalangan kanak-kanak kerana dapat berkubang beramai-ramai menangkap ikan seperti keli, puyu, haruan dan sepat.
Secara keseluruhannya hampir 400 kilogram ikan dapat ditangkap dalam tempoh kurang tiga jam ini dengan sebahagiannya dimasak untuk dimakan bersama manakala selebihnya diberikan kepada orang ramai yang datang," katanya kepada pemberita.
Menurut Tuan Azman Shah, pihak penganjur menyediakan hadiah misteri berupa hamper kepada peserta yang mendapat hasil tangkapan istimewa iaitu belut dan kura-kura.
Katanya, acara kali ini lebih meriah dengan kehadiran 36 pelajar Kor Asas Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang turut sama mengambil bahagian.
Sementara itu, seorang pelajar UniSZA, Nur Fatin Mat Ghani, 21, berkata, aktiviti menangkap ikan dalam sawah bukan semudah disangka namun, dia seronok kerana berpeluang merasai pengalaman tersebut buat kali pertama.
Mula-mula tadi, saya agak takut untuk turun ke bendang tetapi bila tengok telatah orang kampung yang menjerit-jerit, ketawa, bahkan ada yang terjatuh semasa tangkap ikan secara tidak langsung membuatkan saya dan kawan-kawan gembira.
Ini adalah pengalaman pertama saya, walaupun begitu saya berjaya menangkap dua ekor ikan keli hanya dalam tempoh 15 minit berkubang meskipun agak susah kerana licin untuk dipegang," katanya penuh teruja.