PRU15: Mahfuz berserah kepada ALLAH

Iklan
Mahfuz tiba bersama isteri menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15 di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin di Hutan Kampung, di sini, pada Sabtu.

POKOK SENA - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menunaikan tanggungjawabnya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin di Hutan Kampung, di sini, pada Sabtu.

Mahfuz tampil sedondon bersama isteri, Datin Ruswati Jaafar, 62 mengenakan busana berwarna kuning tiba di pekarangan kolej berkenaan pada 9.15 pagi.

Iklan
Iklan

Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah berkata, beliau berserah kepada ALLAH SWT untuk menentukan nasibnya dalam PRU15 itu kelak.

Menurutnya yang juga penyandang Parlimen Pokok Sena, beliau sudah melakukan yang terbaik, sekali gus tidak risau dengan situasi pilihan raya kali ini berbanding pilihan raya sebelum ini

Iklan

"Apa pun tidak menggusarkan saya kerana berasaskan pengalaman selama 22 bulan memerintah sebelum ini dan banyak projek dan sumbangan dibawa kepada rakyat di kawasan ini.

"Malah, kita mempunyai hubungan baik dengan agensi tetap baik walaupun (kerajaan PH) jatuh, begitu juga hubungan kami dengan rakyat masih dirasai. Jadi saya tidak begitu risau tetapi apa pun berserah kepada ALLAH SWT,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin pada Sabtu.

Iklan

Beliau yang mengundi di saluran dua mendapati proses pengundian berjalan lancar dan ramai pengundi dilihat selesa datang mengundi pada awal pagi.

Pada PRU15, Mahfuz berdepan persaingan empat penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Yahya, calon Warisan, Noraini Md. Salleh dan calon Barisan Nasional (BN) Noran Zamini Jamaluddin di kerusi Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz disifatkan calon ‘heavyweight’ dan Pokok Sena dikatakan 'kubu kuat' kerana beliau memenangi kerusi Parlimen itu selama empat kali pada 1999, 2008, 2013 dan 2018.