MUAR - Hujan tidak menjadi penghalang bagi pengundi-pengundi Parlimen Muar untuk menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.
Tinjauan Sinar Harian di pusat undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar mendapati pengundi-pengundi mula beratur sambil berpayung seawal jam 7 pagi berikutan hujan lebat sejak jam 6 pagi.
Seorang pengundi di SMK Sri Muar, Dee Danny Lock, 54, berkata, dia antara individu terawal sampai di pusat undi itu.
"Saya tinggal di Kota Damansara dan bertolak ke Muar semalam. Saya pengundi pertama sampai dalam 7.30 pagi tadi.
"Saya harap dapat parti lebih baik untuk masa depan. Perasaan sekarang ada bimbang sikit," katanya.
Ahmad Izwan Ayub, 46, pula berkata, dia tiada masalah untuk pergi mengundi dalam keadaan hujan.
Pengundi dari Parit Sakai, Muar itu berharap dapat pemimpin yang membuat kerja dan tidak mementing 'poket sendiri'.
"Saya okay jer pergi mengundi waktu hujan. Gerak awal dalam jam 7.10 pagi tadi," katanya.
Sementara itu, Teh Ling, 36, berkata, sebagai pengundi amat mustahak untuk keluar mengundi.
"Saya terasa teruja dapat keluar mengundi pada PRU15.
"Undi untuk pilih kerajaan yang dapat stabilkan negara. Sebagai rakyat, harus keluar mengundi," katanya.