KUANTAN - Para pengundi di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam beratur hampir 200 meter dari pintu utama sekolah itu bagi memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.
Ini susulan pengundi di kawasan Parlimen Indera Mahkota yang dikatakan mahu membuang undi awal pagi ini kerana bimbang hujan di sebelah petang.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai yang tiba di pusat pengundian itu seawal 7.20 pagi.
Walaupun hujan renyai seketika pengundi tidak berganjak sebaliknya di setiap saluran jumlah pengundi semakin bertambah.
Calon dari Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail selesai membuang undi pada jam 8.30 pagi manakala Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN) tiba di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam pada jam 9.03 pagi
Dalam pada itu, mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman turut membuang undi di lokasi dan sempat beratur serta bersalaman dengan Saifuddin.
Para pengundi yang keluar mengundi awal itu bagaimanapun ia tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Kelihatan ramai anak-anak muda turut beratur bagi menunaikan hak untuk memilih pemimpin.
Difahamkan seramai 6,100 pengundi di Pusat Pembuangan Undi di SK Sungai Talam dengan tujuh saluran.