PRU15: Mahdzir, Nurul Amin puas hati

Iklan
Nurul Amin (kiri) dan Mahdzir selesai membuang undi PRU15 di SK Naka, Padang Terap pada pagi Sabtu.

PADANG TERAP - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpuas hati dengan susunan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap proses pengundian Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan (SK) Naka, dekat sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian selepas selesai membuang undi di sekolah tersebut bersama isterinya, Datin Seri Noraini Abdullah pada jam 9.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Saya berpuas hati dengan susunan SPR bagi warga emas yang diletakkan di tingkat bawah bangunan macam di sekolah ini.

"Saluran satu dan dua diletakkan di kantin yang selari dengan keadaan geografi di sini manakala saluran tiga dan empat diletakkan di kawasan bangunan," katanya kepada sidang akhbar pada Sabtu.

Iklan

Perkara sama disuarakan oleh calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid yang turut selesai mengundi di sekolah sama pada jam 9.20 pagi bersama isterinya, Bushra Mazani.

Menurutnya yang juga Ketua Pemuda Pas Kedah, perjalanan proses pengundian berlangsung dengan cukup harmoni dalam suasana adik-beradik.

Iklan

"Perjalanan pengundian hari ini saya lihat sangat harmoni berbanding yang lepas-lepas. Rakyat hari ini sudah matang berpolitik. Politik hari ini sudah dinamik.

"Banyak perubahan dan saya lihat perjalanan pengundian hari ini lebih kepada adik-beradik di tempat kita dan tiada masalah berlaku," kata Nurul Amin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden, Mulkiaman Manzar berkata, seramai 300 pegawai dan anggota polis ditempatkan di beberapa lokasi di daerah ini memantau keadaan dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku setakat ini.