SEREMBAN - Aura keterujaan serta semangat jelas terserlah apabila empat sahabat memilih mengenakan pakaian berwarna sedondon ketika mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat pengundian Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hua, Rantau di Rembau pada Sabtu.
Mereka merupakan Azmah Abdul Manan, 54, Rosmatina Samsuri, 53, Rafidah Abd Ghani, 44, dan Azihan Ali,48, masing-masing dari taman perumahan sama di Taman Rantau di sini.
Azmah ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia sepakat memilih warna kuning 'mustard' berikutan mudah untuk mereka kenal pasti dalam kalangan pengundi yang hadir di sini.
"Lagipun dalam suasana pilihan raya ini sudah tentu kita mahu cipta kenangan tersendiri kerana lima tahun tunggu pilihan raya," katanya.
Rosmatina pula menjelaskan, mereka berada di pusat pengundian itu sejak 7.30 pagi bagi mengelakkan kesesakan di lokasi.
"Cuaca hujan memang tidak halang kami mengundi sebab ini merupakan tanggungjawab kita dalam negara. Jadi saya tidak mahu terlepas peluang mengundi kerana ia menentukan masa depan negara," katanya.
Sementara itu, Rafidah turut senada dengan kedua-dua rakannya itu malah meluahkan rasa teruja dan bersemangat untuk mengundi.
"Saya harap perjalanan proses pengundian berjalan lancar sehingga petang nanti dan saya sendiri lega apabila tanggungjawab terhadap negara sudah selesai," katanya.
Pada PRU15 ini menyaksikan pertandingan lima penjuru di Parlimen Rembau yang mana BN diwakili Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pakatan Harapan diwakili bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.
Manakala Perikatan Nasional menampilkan Setiausaha Badan Perhubungan Perikatan Nasional negeri sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus serta Ramly Awalludin daripada Pejuang dan S Tinagaran atau Cikgu Tina daripada Parti Sosialis Malaysia.
Dalam pada itu, calon BN, Mohamad atau Tok Mat dilihat hadir ke pusat pengundian itu bersama isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin kira-kira jam 9 pagi.