KUANTAN - Calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersama sembilan ahli keluarganya termasuk suami, anak, ibu, bapa saudara dan adik mengundi di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira di sini pada Sabtu.
Fuziah tiba di pusat pengundian itu ditemani suami, Dr Russly Abd Rahman jam 10.12 pagi.
Menurutnya, turut mengundi di situ ibunya, Fatimah Salleh, 78, dan bapa saudara, Mohd Noor Suli, 83.
"Empat anak saya dan dua adik turut mengundi di sini," katanya.
Sementara itu, calon BN Parlimen Kuantan, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar yang turut mengundi di pusat itu tiba jam jam 9.20 pagi.
Abdul Hamid sempat berbual seketika dengan Fuziah selepas mereka bertembung di pintu masuk pusat mengundi.
Fuziah dan Abdul Hamid berdepan saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) ini apabila turut dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Wan Razali Wan Nor dan Anuar Mohd Tajuddin (Pejuang).
Sehingga jam 11 pagi pada Sabtu, proses pengundian di SMK Tok Sira berjalan lancar walaupun hujan seketika.