MUAR - Demi menunaikan rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, seorang pengundi sanggup berhabis RM40,000 untuk pulang dari Arab Saudi, ke kampungnya di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.
Datuk Radzi Mansor, ketua pegawai eksekutif sebuah agensi pelancongan di Arab Saudi berkata beliau pulang ke kampung halaman di Jalan Ibrahim di sini bersama bapanya Mansor Salim, 76, menaiki pesawat pada 30 Oktober lepas.
"Syukur saya dapat pulang mengundi bagi memilih pemimpin atau wakil rakyat di Parlimen Muar dan kepulangan saya bersama bapa memang dengan tujuan mengundi, sekali gus melawat keluarga.
"Apalah salahnya berhabis duit untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat, lagipun pilihan raya umum hanya lima tahun sekali," katanya kepada pemberita selepas mengundi di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, di sini hari ini.
Terdahulu Radzi, 40, bersama Mansor dan kakak Nor Hafiza, 45, mengundi di SMK Sri Muar.
Radzi yang sudah tinggal di Arab Saudi selama 14 tahun berkata beliau dan bapanya akan kembali ke Arab Saudi Selasa ini.
Parlimen Muar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Muda yang juga penyandang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, calon Barisan Nasional Mohd Helmy dan calon Perikatan Nasional Abdullah Husin. - Bernama.