PRU15: Angkut anak ke pusat mengundi

Iklan
Ismaniza membawa dua anaknya bersama membuang undi di SK Meru Raya di sini pada Sabtu.

IPOH - Pelbagai gelagat orang ramai dilihat pada hari mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka termasuklah ada yang terpaksa membawa anak ke pusat mengundi.

Antara yang ditemui seorang pengundi, Ismaniza Ahmad, 37, yang terpaksa membawa bersama dua anaknya masing-masing berusia 4 dan 8 tahun untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan Meru Raya, di sini.

Iklan
Iklan

Dia terpaksa membawa anaknya ke pusat mengundi kerana tidak ada penjaga memandangkan suaminya turut bertugas pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

"Ini kali kedua saya mengundi di Parlimen Tambun kerana sebelum ini saya mengundi di Parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang. Bila berpindah ke sini terus tukar tempat mengundi.

Iklan

"Tak susah mana pun sebab proses mengundi cepat dan hanya lima tahun sekali. Jadi bukan masalah pun. Anak-anak pun seronok dapat tengok suasana hari mengundi," katanya.

Bagi pengundi pertama kali, Sarah Adibah Radenan, 20, mengakui teruja apabila dapat menunaikan tanggungjawab itu.

Iklan

Menurut pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, proses mengundi sangat mudah walaupun terpaksa beratur sebentar menunggu giliran.

"Saya rasa gembira sebagai anak muda dah tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini. Rugi kalau anak muda tak ambil kesempatan gunakan hak memilih pemimpin setiap lima tahun sekali ini.

"Menjadi kewajipan kita sebagai orang Islam memilih calon dan kerajaan yang lebih baik demi negara serta negeri tercinta," katanya yang turut mengundi di SK Meru Raya di sini.

Seorang lagi pengundi, Aidril Faqri Yousni, 23, turut gembira membuang undi buat pertama kali di SK Meru Raya di sini bersama-sama ahli keluarganya.

Menurutnya, semangat undi mengundi itu didorong oleh rasa tanggungjawab kepada negara dan negeri memastikan pentadbiran yang lebih baik.