Aleh Jasin, 20, masyarakat Orang Asli suku Temiar ini terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 10 minit dari rumahnya di Kampung Langsat dengan menaiki motosikal yang ditunggang ibunya untuk sampai ke pusat mengundi Parlimen Gua Musang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis.
Wanita itu yang kali pertama mengundi teruja membawa Masnawi Fakri ke pusat mengundi walaupun perlu keluar rumah awal bagi memastikan keselesaan cahaya mata sulungnya itu.
"Saya perlu membawa bayi kerana dia menyusu badan dan tiada siapa yang boleh menjaganya di rumah.
"Untuk mengelakkan beratur panjang dan berpanas bersama anak, saya keluar rumah awal sebelum pukul 9 pagi tadi bersama ibu ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di SK Kuala Betis, di sini.
Sementara itu, Cerrioy Anuar, 21, dari Kampung Bawek berkata, dia bersemangat menunggang motosikal sambil mengendong bayi lelakinya yang berusia tiga bulan, Biblee Amiru Irman ke pusat pengundian sama."Ini kali pertama saya mengundi, jadi saya cukup semangat dan saya keluar rumah pukul 8 pagi menunggang motosikal ke sini bersama bayi,” katanya.
Turut ditemui di pusat mengundi SK Kuala Betis, Norlaila Awang, 32, yang membawa bersama bayi lelakinya yang baru berusia 24 hari menjalankan tanggungjawab sebagai seorang daripada kira-kira 20 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini.
Menurut Norlaila, dia terpaksa membawa Hafiiy Zafran Marzuki berikutan suaminya berada di Pahang untuk mengundi.
Walaupun masih berpantang, urusan mengundi berjalan lancar dengan bantuan petugas di pusat mengundi terutama laluan khas yang disediakan untuk golongan memerlukan.
"Seawal 8.15 pagi saya sudah selesai menjalankan tanggungjawab untuk PRU kali ini,” katanya yang tinggal di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis.
Dia yang mengundi buat kali ketiga turut menyeru semua rakyat yang berpeluang memilih wakil rakyat untuk keluar mengundi di saluran yang didaftarkan. - Bernama.