SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 14 pusat mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di lima negeri terkesan banjir, pada Sabtu.
Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, berdasarkan data setakat jam 5 petang, pusat mengundi itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Penjong dan SK Mentiga di Pahang, SK Rancangan Belia Sook, SK Malima Sook serta SK Ambung Kota Belud, Sabah.
Menurutnya, di Sarawak lima pusat mengundi iaitu SK Dato Sarif, SK Telahak dan SK Long Bemang, SK Meritam dan Dewan Liok Batu.
"Selebihnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Ibrahim (P), Johor; SK Bota Kiri, Sekolah Kebangsaan Jenis (SKJ) Tamil Changkat Beruas, SKJ Tamil Glouster Changkat Jong di Perak," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mohammad Hamdan berkata, beberapa pusat mengundi ini ada dinaiki air setinggi 1.3 hingga dua meter dan ada laluan ke pusat undi ini yang turut terjejas.
Katanya, bomba bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membantu membawa 395 pengundi menaiki bot.
Mengulas mengenai situasi banjir seluruh negara, Mohammad Hamdan berkata, 33 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif di enam negeri iaitu Sarawak, Kelantan, Selangor, Perak, Melaka dan Johor.
Katanya, PPS ini menempatkan 2,765 mangsa terdiri daripada 767 keluarga.
"Sebanyak 259 turut dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 570 keanggotaan termasuk pasukan bomba sukarela (PBS) dan pegawai bomba bantuan (PBB)," ujarnya.
Jelasnya, orang ramai dinasihat sentiasa mengikuti makluman, amaran dan arahan agensi keselamatan dan penguat kuasa berhubung dengan keadaan banjir serta berisiko.
"Sila pantau dan salurkan info penting kepada agensi kecemasan berkenaan persekitaran yang menjejaskan keselamatan penduduk setempat selain menangguhkan dahulu aktiviti tertentu seperti berekreasi di kawasan yang dikenal pasti berisiko akibat hujan atau kenaikan paras air," katanya.