KUALA LUMPUR - Seorang pengantin baharu yang tampil menawan dengan gaun berwarna putih untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) curi tumpuan ramai.
Biarpun melangsungkan perkahwinan pada Sabtu namun tidak menghalang penganalisis kewangan, Lee Choy Yoong, 30, hadir bersama pasangannya seorang pegawai polis di Bukit Aman, Jackie Har, 30, dengan sut rona coklat cair di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Taman Muda, dekat Pandan.
Menurut Choy Yoong, dia yang ditemani suami memutuskan datang pada tengah hari kerana bimbang berlakunya hujan di waktu petang.
Ujarnya lagi, keputusan hadir pada hari pengundian itu juga kerana tidak mahu melepaskan peluang bersejarah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warga Malaysia.
"Mujur keluarga kedua-dua belah pihak menyokong keputusan kami walaupun suami sudah mengundi awal pada 15 November kerana beliau merupakan anggota keselamatan," katanya seperti dalam laporan portal media.
Dalam pada itu, Choy Yoong turut mengakui agak tertekan kerana majlis perkahwinan pada musim pilihan raya.
"Saya agak tertekan tetapi pada masa sama turut teruja kerana hari istimewa kami secara kebetulan bertembung dengan hari pengundian.
"Meskipun sibuk kami tetap tidak melepaskan peluang untuk mengundi," ujarnya.
Choy Yoong memberitahu dia bangun seawal 5.30 pagi untuk bersiap dan berdandan.
"Ini kerana pada waktu pagi kami perlu menyelesaikan majlis minum teh sebelah keluarga saya dan tiba di pusat pengundian sekitar jam 12.30 tengah hari.
"Selesai mengundi, kami perlu bergegas ke majlis minum teh untuk keluarga sebelah suami dan malam nanti menghadiri majlis resepsi," katanya sambil menambah turut ditemani 10 rakan.
Sementara itu, Jackie berkata, dia berasa bangga dapat menemani isterinya membuang undi pada hari istimewa mereka walaupun sudah mengundi awal pada 15 November lepas.