JOHOR BAHRU - Dua pengundi wanita termasuk seorang warga emas meninggal dunia semasa berada di tempat pembuangan undi dalam dua kejadian berasingan di Kluang dan Johor Bahru pada Sabtu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, Juhara Syed Mohamad, 57, meninggal dunia selepas mengundi di saluran 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini pada jam 9.30 pagi.
Iklan
Iklan
"Dia yang mengundi untuk Parlimen Pulai mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia secara mengejut.
"Wanita itu hadir ke saluran mengundi itu dalam keadaan tidak sihat hasil pemerhatian petugas saluran, tapi ingin meneruskan pengundian," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
SPR Johor memaklumkan, pengundi kedua yang meninggal dunia merupakan warga emas, Tuminah Ambiah, 85, yang sepatutnya mengundi di saluran 1 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lit Terk meninggal dunia pada jam 10.30 pagi.
"Pengundi berkenaan belum sempat mengundi. Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) berada di tempat kejadian dan mengesahkan telah meninggal dunia selepas ambulan tiba di tempat kejadian.
"Tuminah sepatutnya mengundi untuk Parlimen Sembrong di SJKC berkenaan," menurut SPR.