[VIDEO] Warga emas terkejut nama telah didaftarkan mengundi

Iklan
Zaleha (kanan) menunjukkan laporan polis dibuatnya berkaitan kejadian di sebuah sekolah di Kota Sarang Semut pada Sabtu.

ALOR SETAR - Seorang warga emas membuat laporan polis selepas mendakwa dia tidak dapat mengundi kerana namanya didaftarkan sudah mengundi di Kota Sarang Semut.

Menurut Zaleha Abdul Rahman, 75, dia yang tinggal di Kampung Buluh Lima, Simpang Empat di sini, amat teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di sebuah sekolah.

Iklan
Iklan

Katanya, dia ke sekolah berkenaan bersama anak perempuannya, Zuliza Ramli, 38, untuk mengundi kira-kira jam 9.55 pagi.

"Setelah mendaftar nama di kaunter pendaftaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan diberikan kertas yang bertulis nombor saluran mengundi serta nombor bilangan mengundi.

Iklan

"Pihak SPR mendapati nama saya serta nombor kad pengenalan saya telah digunakan oleh seseorang yang tidak diketahui ataupun dikenali," katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Stadium di sini pada Sabtu.

Zaleha berkata, pihak SPR di sekolah berkenaan telah menyemak nama dan nombor kad pengenalannya beberapa kali, namun didapati namanya masih berstatus sama iaitu telah mengundi.

Iklan

Katanya, dia kecewa dan keliru bagaimana perkara tersebut boleh berlaku, sedangkan dia sudah beberapa kali mengundi.

"Pertama kali jadi macam ini, saya memang terkejut lalu pergi ke balai polis untuk buat laporan.

"Siapa yang pergi mengundi. Saya pun hairan," katanya suri rumah tersebut yang berharap tindakan sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab.

Sementara itu anaknya, Zuliza berharap polis dapat mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung kes pengundi yang menggunakan nama dan kad pengenalan ibunya.

"Kita tidak tahu ini disebabkan kelalaian manusia ataupun sebaliknya. Jadi, kita hendak tahu jugalah prosedur operasi standard (SOP) SPR itu," katanya.

Sehubungan itu katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kota Sarang Semut di sini supaya siasatan dapat dijalankan.