KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri maut manakala anaknya berusia tiga tahun patah kaki apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan selepas pasangan itu selesai mengundi dalam kejadian di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kemalangan tersebut berlaku pada jam 12.08 tengah hari melibatkan kereta Perodua Alza dinaiki tiga beranak itu dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.
"Hasil siasatan mendapati mangsa yang menaiki Perodua Alza dalam perjalanan ke Skudai, Johor Bahru setelah selesai mengundi di Lok Heng dekat sini.
"Perodua Alza tersebut yang menghala ke Johor Bahru terbabas semasa melalui selekoh dan berpusing di laluannya sebelum masuk ke laluan bertentangan menghala ke Mersing.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza iaitu lelaki berusia 37 tahun dan isterinya, berusia 31 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya patah kaki kanan.
Sementara pemandu Toyota Hilux berkenaan yang berusia 60 tahun katanya, tidak mengalami kecederaan.
Menurut Hussin, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Normak berkata, seramai lapan anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.
Mohd Rafi berkata, pasangan suami isteri terbabit tersepit di tempat duduk masing-masing.
"Anak mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum bomba tiba. Bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dengan peralatan khas.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.