KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Pengundi terakhir Roslan @ Abd Razak Masran, 59, terpaksa meninggalkan kenderaannya di tepi jalan selepas menyedari beliau adalah pengundi terakhir di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Kota Kinabalu.
Berbaki kurang daripada tiga minit sebelum tamatnya hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau turut mendapat sorakan gamat daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memeriahkan suasana saat akhir tempoh mengundi pada pilihan raya kali ini.
Roslan yang sempat membuang undi di pusat berkenaan memaklumkan dia lewat kerana ada urusan keluarga tetapi demi haknya sebagai rakyat Malaysia tidak melepaskan masa yang ada.
Sementara itu, seorang lagi pengundi, Siti Liza Salim, 23, menyatakan rasa terujanya mengundi kali pertama tetapi terpaksa datang lewat kerana menunggu suaminya untuk mengundi bersama.
"Saya risau juga sebab takut tidak sempat, mujur jalan tidak sesak jadi sempatlah membuang undi walaupun di saat akhir.
"Saya langsung tidak tidur sejak semalam kerana memikirkan mahu pakai baju dan beg apa, tetapi akhirnya saya lewat juga sampai," katanya yang tiba pada jam 5.05 petang di pusat pengundian berkenaan.
Menurut seorang lagi pengundi, Ruslan Ahmad, 60, disebabkan komitmen kerja menyebabkan dia terpaksa datang lewat ke pusat pengundian itu.
"Saya tidak sempat mengundi pagi tadi kerana masuk bekerja. Jadi ada masa rehat satu jam setengah, saya luangkan masa sekejap untuk mengundi.
"Mujur proses mengundi sekejap saja sebab sudah lewat petang dan keadaan agak lenggang," katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, petugas SPR menutup pintu pagar pusat pengundian tepat pada jam 5.30 petang menandakan hari mengundi bagi PRU15 telahpun tamat.